Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: "Saya datang sini pakai selipar ibu, sebab selipar lama saya dah buruk (lusuh)," kata Mohamad Fakry Darwisy Noreezri.

Mohamad Fakry, 10, antara 44 anak yatim yang dibawa UDA Holdings Berhad (UDA) membeli baju raya dan kelengkapan Aidilfitri sempena program UDA Cares dikenali 'Syukuri Ramadan.'

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia yang tinggal bersama ibunya, Noraini Elias,43 serta dua kakaknya berusia 15 dan 17 tahun begitu teruja apabila dipilih antara salah seorang penerima program berkenaan.

"Seronok sebab dapat beli baju raya, songkok, sampin, tali pinggang, stoking dan kasut sendiri ikut apa saya nak.

"Tapi yang lebih seronok dapat beli selipar jalan-jalan baru sebab selipar lama saya dah buruk (lusuh) sampai nak datang program ini, ibu suruh pakai selipar dia.

"Ibu hanya kerja menjual kuih, jadi pendapatan tak seberapa mujur ada program ini maka ringankan beban ibu," katanya ketika ditemui dalam program berkenaan di pasar raya di sini, semalam.

MOHAMAD Fakry gembira memilih sendiri kasut serta baju melayu lengkap sampin dan songkok pada Majlis Syukuri Ramadan. FOTO Danial Saad
MOHAMAD Fakry gembira memilih sendiri kasut serta baju melayu lengkap sampin dan songkok pada Majlis Syukuri Ramadan. FOTO Danial Saad

Dalam program itu, semua penerima menerima bantuan bernilai RM250 seorang bagi membeli kelengkapan perayaan Aidilfitri.

Mohamad Fakry berkata, kehilangan bapanya ketika berusia tujuh tahun akibat kanser.

"Selepas ketiadaan ayah, segala keperluan diuruskan ibu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi UDA Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, program itu diadakan membabitkan lokasi yang mana wujudnya pengoperasian pejabat UDA sebagai tanda keprihatinan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

"Bagi program ini kita bermula menjelajah ke negeri Pahang dan Selangor sebelum singgah ke Pulau Pinang.

"Selepas ini, kita akan ke Johor dan akan mengakhiri program ini di Perak untuk menyampaikan bantuan yang jumlah keseluruhannya diperuntukkan adalah sebanyak RM200,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 12:03 PM