Durakovic (tengah) memilih baju raya untuk anak-anak yatim dari Pusat Jagaan dan Miskin Nurul Iman, Manjoi. FOTO Farah Suhaidah Othman.
Durakovic (tengah) memilih baju raya untuk anak-anak yatim dari Pusat Jagaan dan Miskin Nurul Iman, Manjoi. FOTO Farah Suhaidah Othman.
Farah Suhaidah Othman


SERAMAI 22 anak-anak yatim dari Pusat Jagaan dan Miskin Nurul Iman, Manjoi, Ipoh, gembira apabila pemain bola sepak kesayangan mereka memilih pakaian raya tahun ini.

Situasi membeli-belah di Mydin Meru Mall agak mencuit hati apabila pemain kelahiran Brazil, Leandro Dos Santos silap menyebut 'songkok' yang sebenarnya adalah sampin baju Melayu ketika memilih pakaian raya untuk kanak-kanak berkenaan.

Seramai 25 pemain Perak bersama jurulatih mereka, Mehmet Durakovic membantu kanak-kanak kurang bernasib baik itu membeli persiapan raya menerusi Program Pemain Liga Super bersama anak yatim di pasar raya berkenaan anjuran Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Muhamad Adam Hakimi Mohd Suhaimi, 15, berkata dia hampir tidak dapat melelapkan mata sebaik dimaklumkan akan bertemu dengan pemain kegemarannya, Ronaldo Henrique Silva untuk membeli pakaian raya.

Katanya, dia sedikit berdebar apabila mendapat peluang untuk berbual dengan pemain kelahiran Brazil itu.

"Seronok sangat raya kali ini sebab Abang Hafizul Hakim (Mohd Nizam Jothi/penjaga gol Perak) sendiri tolong saya pilih baju raya saya hari ini," katanya ketika ditemui hari ini.

Leandro Dos Santos (kanan) bersama Muhammad Hafizul memilih baju raya untuk anak-anak yatim dari Pusat Jagaan dan Miskin Nurul Iman, Manjoi.
Leandro Dos Santos (kanan) bersama Muhammad Hafizul memilih baju raya untuk anak-anak yatim dari Pusat Jagaan dan Miskin Nurul Iman, Manjoi.

Sementara itu, Ronaldo berkata, beliau bertuah kerana dapat menyertai rakan seperjuangan lain menyumbangkan bakti untuk membeli pakaian raya untuk anak yatim berkenaan.

"Sebelum ini ketika saya bermain di Jepun, saya membuat amal pergi ke sekolah untuk bertemu pelajar sekolah tapi kali ini berlainan pula kerana saya dan rakan-rakan dapat membantu kanak-kanak kurang berkemampuan untuk membuat persiapan menyambut perayaan.

"Saya masih mempelajari beberapa perkataan Bahasa Melayu dan hari ini saya belajar banyak terma pakaian tradisional seperti baju Melayu, songkok dan sampin," katanya.

Pemain pertahanan Perak, Nazirul Naim berkata, ini tahun kedua beliau dan pemain pasukan itu membuat persiapan raya untuk anak yatim.

Katanya, program seumpama itu bukan sahaja mendekatkan pemain bola sepak dengan masyarakat tetapi dapat memberi kegembiraan di hati peminat terutamanya kanak-kanak kurang berkemampuan untuk merasai nikmat berhari raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 6:47 PM