Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Peniaga di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini membuat lelongan akhir barangan perniagaan mereka susulan pengumuman Aidilfitri esok.

Peniaga Songkok, Mohammad Farihin Yurnalis,24 berkata, walaupun terkejut dengan pengumuman berkenaan, dia masih menjalankan perniagaan seperti biasa pada malam raya.

"Selain songkok, saya menjual sampin dan aksesori seperti butang baju Melayu. Syukur sambutan tahun ini agak meriah mungkin disebabkan orang ramai teruja menyambut hari raya bersama keluarga tercinta selepas dua tahun tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing.

"Apabila dengar saja pengumuman hari raya esok (hari ini), saya terus membuat lelongan terakhir dengan harga amat rendah bagi membolehkan orang ramai membeli belah dengan perasaan seronok di saat akhir," katanya.

PENIAGA di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman membuat lelongan sempena Aidilfitri di saat-saat akhir. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
PENIAGA di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman membuat lelongan sempena Aidilfitri di saat-saat akhir. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Mohammad Farihin berkata, kebiasaannya dia menjual sampin dengan harga dua helai RM50 namun pada malam raya dia menurunkan harga kepada RM60 untuk tiga helai.

"Syukur, masih ramai yang datang membeli-belah bagi membuat persiapan terakhir dan saya tidak teragak-agak menurunkan harga di saat akhir ini.

"Saya juga bercadang untuk menutup gerai jualan sedikit awal malam ini (semalam) kerana saya juga mahu membuat persiapan menyambut Aidilfitri," katanya.

Sementara itu, bagi peniaga kuih raya, Rizman Yahyiludin, 42, dia begitu teruja berniaga pada tahun ini berikutan sambutan diterima sepanjang tiga minggu Ramadan amat menggalakkan.

"Kira-kira seminggu berniaga stok kuih sudah habis dan saya terus menambah stok bagi meneruskan perniagaan.

"Untuk malam ini saya menjual kuih raya dengan harga lelongan RM50 tiga balang berbanding harga sebenar RM20 hingga RM25 sebalang mengikut jenis kuih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 9:51 PM