Ahmad Rabiul Zulkifli


"JIKA diikutkan tidak perlu membeli baju Melayu untuk Aidilfitri, tahun ini maklumlah sudah memiliki 60 pasang koleksi baju itu."

Begitu kata Ahmad Syafri Husnaini Mohamad, 45, yang meminati baju Melayu lengkap bersampin sejak di bangku sekolah dan meneruskan hobi mengumpul busana itu sehingga sekarang.

Ahmad Syafri dari Taman Sungai Bajar, Kuala Berang, berkata sebenarnya dia mempunyai lebih 100 pasang baju Melayu, tetapi sebahagiannya sudah dihadiahkan kepada saudara dan kenalan rapat.

"Sekarang tinggal 60 pasang baju Melayu pelbagai warna termasuk hijau, biru, merah, oren serta kuning yang masih disimpan dan semuanya baju Melayu cekak musang.

"Baju Melayu berwarna merah paling digemari dan saya turut memiliki sebanyak 30 helai sampin iaitu songket tenunan Terengganu untuk digayakan bersama baju Melayu selain lima songkok tinggi," katanya.

Katanya, koleksi baju Melayu itu bukan sahaja digayakan pada hari raya, tetapi turut digunakan untuk ke majlis rasmi termasuk Hari Sambutan Maal Hijrah dan Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri.

"Bertugas sebagai pengacara majlis rasmi memang memerlukan saya memakai pakaian kebangsaan itu.

"Justeru, selain membelinya sendiri, koleksi baju Melayu yang dimiliki itu juga ialah pemberian dan hadiah daripada pelbagai pihak.

"Paling berharga dan disayangi ialah baju Melayu hitam yang dihadiahkan Istana Terengganu untuk digunakan pada Hari Ulang Tahun Pertabalan Sultan Terengganu pada 2014," katanya.

Katanya, baju Melayu boleh digayakan pada bila-bila masa dan sesuai untuk semua majlis berbanding busana lain.

Mengulas mengenai trend baju Melayu moden yang diubah suai katanya, dia terkilan dengan sikap segelintir pereka fesyen dan penjual baju Melayu kerana menghilangkan identiti baju kebangsaan itu.

"Tidak salah jika ingin membuat sedikit perubahan pada baju Melayu mengikut keselesaan, tetapi jangan sampai baju Melayu itu jauh daripada identiti asal baju Melayu tradisional.

"Saya sedih melihat baju Melayu moden di pasaran yang tidak menepati ciri-ciri baju Melayu tradisional seterusnya tidak boleh digayakan pada majlis rasmi," katanya.

AHMAD Syafri bersama koleksi baju Melayu pelbagai warna yang disimpannya. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
AHMAD Syafri bersama koleksi baju Melayu pelbagai warna yang disimpannya. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 5:48 PM