BERNAMA

KUIH putu kacang dan karas yang dijual di gerai Warisan Mak Chah di Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar, menjadi pilihan utama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali setiap kali menjelang perayaan Aidilfitri.

Peniaga gerai itu, Suria Hassan, 49, berkata apabila bulan Ramadan, pemimpin nombor satu negara itu serta isterinya tidak akan terlepas untuk membeli dua jenis kuih itu di gerainya yang menjadi amalan mereka untuk membeli di situ sejak tahun 80-an lagi.

“Setiap kali bulan puasa, Tun Dr Mahathir dan isteri pasti mai gerai sini beli kuih ini bersama kuih lain, dah lama mereka mai beli sini sejak arwah tok (nenek) saya lagi berniaga,” katanya kepada pemberita selepas dikunjungi Perdana Menteri dan isteri di gerainya, hari ini.

Dr Mahathir yang tiba di Kompleks Pekan Rabu secara berasingan dengan isteri beliau pada 11.06 pagi meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau kompleks itu sambil membeli. Turut mengiringi beliau adalah Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Suria berkata, kuih lain yang dibeli Perdana Menteri dan isteri ialah dodol lemak dan durian, kuih bangkit, bahulu selain kuah rojak, serunding, biskut suji dan acar limau.

“Tun Dr Mahathir dan isteri beliau sangat teliti dalam membeli kuih ini tetapi mereka tidak cerewet dan tidak berkira daripada segi harga berapa pun,” katanya.

Dr Mahathir turut tidak melepaskan peluang membeli songkok kegemarannya, capal, butang baju dan sampin di gerai ‘Songkok Style Tun’ yang dimiliki peniaga Sardi Dahar di kompleks itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 7:07 PM
DR Mahathir memakai Songkok Gaya Tun yang dihasilkan oleh Sardi (dua dari kanan) ketika meluangkan masa membeli-belah di Kompleks Pekan Rabu. FOTO Amran Hamid
DR Mahathir memakai Songkok Gaya Tun yang dihasilkan oleh Sardi (dua dari kanan) ketika meluangkan masa membeli-belah di Kompleks Pekan Rabu. FOTO Amran Hamid