Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis tidak pernah menghalang penyokong fanatik atau Ultras Kelab Bola Sepak Perak FC masuk ke dalam stadium bagi menonton perlawanan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sesiapa sahaja yang mempunyai tiket sah boleh masuk ke stadium selagi tidak membawa bahan terlarang seperti senjata dan sebagainya ketika pemeriksaan rapi di pintu masuk.

Bagaimanapun, katanya, sebarang ketetapan lain seperti larangan membawa masuk gendang maka ia terpulang kepada pihak stadium.

"Kalau mereka larang membawa masuk gendang, maka kita (polis) juga tidak akan benarkan individu yang membawanya masuk ke dalam stadium.

"Namun secara umum, selagi mana individu itu ada tiket yang sah untuk masuk, kita akan benarkan dia masuk," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Pemantauan SOP Covid-19 dan Program High Profile Policing (HPP) di Bazar Ramadan Stadium Perak, di sini, hari ini.

Terdahulu, beberapa portal dalam talian melaporkan dengan memetik bekas pemain skuad Perak, Khalid Jamlus sebagai berkata, terdapat dakwaan mengatakan sebahagian penyokong Perak FC dilarang masuk ke stadium.

Laporan itu seterusnya memetik sumber dari penyokong kelab berkenaan, mendakwa seorang pemain dram ultras diugut oleh seseorang yang mengatakan bahawa mereka akan ditangkap polis jika hadir ke stadium.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata, sebanyak 115 kompaun dikeluarkan bagi kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengekang Covid-19 khususnya di 106 bazar Ramadan seluruh Perak bermula 1 April hingga semalam.

Beliau berkata, ia membabitkan kesalahan gagal mendaftar rekod masuk ke premis sebanyak 91 kes, gagal memakai pelitup muka (23), dan satu kes kesalahan pemilik premis gagal menyediakan serta memastikan pelanggan mengimbas kod QR MySejahtera.

Katanya, tinjauan mendapati kegagalan memakai pelitup muka dengan sempurna dikesan khususnya dalam kalangan peniaga di bazar berkenaan.

"Walaupun kita sudah beralih ke fasa peralihan endemik bermula 1 April, namun pemantauan masih akan kita teruskan khusus di tempat tumpuan orang ramai khususnya bazar Ramadan.

"Tindakan kompaun masih berkuat kuasa. Jadi semua perlu kekal mengamalkan SOP sedia ada," katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh sama, sebanyak 429 hebahan sudah dilakukan Polis Perak yang menyeru supaya masyarakat masih mematuhi SOP ditetapkan yang mana ia akan dilaksanakan secara berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 9:51 PM
MIOR Faridalathrash hadir pada Program Pemantauan SOP Covid-19 dan Program High Profile Policing (HPP) Bazar Ramadhan di Perkarangan Stadium  Indera Mulia Ipoh. FOTO L Manimaran
MIOR Faridalathrash hadir pada Program Pemantauan SOP Covid-19 dan Program High Profile Policing (HPP) Bazar Ramadhan di Perkarangan Stadium Indera Mulia Ipoh. FOTO L Manimaran