MIOR Faridalathrash. FOTO L  Manimaran
MIOR Faridalathrash. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid menafikan berasa terkesan dengan penyebaran nombor talian telefon bimbit miliknya di media sosial oleh pihak berkepentingan dalam isu pencerobohan tanah dekat kawasan perindustrian Kanthan, Chemor.

Beliau berkata, bagi pihaknya, ia tidak dianggap suatu bentuk provokasi memandangkan nombor talian itu sememangnya digunakan bagi memudahkan masyarakat menyampaikan sebarang maklumat kepada pihaknya.

"Saya tiada masalah mengenainya, lagipun ia bukan nombor telefon peribadi. Sesiapa pun boleh berkongsi nombor talian saya itu untuk berkongsi maklumat dengan polis dan urusan selainnya.

"Saya tidak.nmpak penyebaran nombor talian itu sebagai bentuk provokasi walaupunnsaya tidak tahu apa niat sebenar si penyebar. Lagipun saya sememangnya lazim memberi kad perhubungan kepada orang ramai," katanya kepada pemberita dalam Program Pemantauan SOP Covid-19 dan Program High Profile Policing (HPP) di Bazar Ramadan Stadium Perak, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta reaksi berhubung penyebaran nombor telefon bimbit miliknya serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melalui ciapan di laman Twitter oleh pengguna yang dipercayai mempunyai kaitan dengan isu pencerobohan tanah berkenaan.

Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash menegaskan polis sentiasa bersikap 'neutral' dalam semua keadaaan dan tidak sesekali akan bertindak melampau terhadap tindakan yang diambil.

"Apa jua kesalahnnyang berlaku depan mata kita (polis), maka baru kita ambil tindakan, contohnya ada insiden pencerobohan (tanah) itu maka kita ambil tindakan," katanya.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, kerja-kerja kajian tanah di sebuah kawasan perindustrian di Khantan, Chemor dalam Mukim Hulu Kinta terpaksa ditangguhkan akibat dihalang oleh sekumpulan orang awam disyaki pekebun yang mengusahakan tanah itu secara haram..

Bagaimanapun, pagi tadi, kerja kajian tanah di kawasan itu sekali lagi tergendala apabila sekumpulan lelaki warga tempatan yang gagal membuktikan hak pemilikan tanah di situ sedang menghalang kerja pembersihan tanah di kawasan terbabit.

Ia seterusnya membawa kepada penahanan dua lelaki yang juga aktivis parti politik Parti Sosialis Malaysia (PSM) selepas melakulan provokasi terhadap polis yang sedang menjalankan tugas di kawaaan itu.

Sementara itu setakat berita ini ditulis, reaksi daripada Saarani yang nombor telefon miliknya turut didedahkan menerusi ciapan sama, masih belum diperoleh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 10:11 PM