PASUKAN operasi menjalankan pemeriksaan lanjut apabila mangsa tiba di ‘Timpohan Gate’. FOTO Ihsan JBPM
PASUKAN operasi menjalankan pemeriksaan lanjut apabila mangsa tiba di ‘Timpohan Gate’. FOTO Ihsan JBPM
Juwan Riduan

Ranau: Seorang pendaki terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (Mosar) selepas mengalami kekejangan abdomen ketika menuruni Gunung Kinabalu di Kilometer 2.2, Pondok Lowi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia 35 tahun terbabit dilaporkan sukar bergerak dan terpaksa dibawa turun untuk mendapatkan rawatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1 tengah hari.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 10 anggota dan pegawai termasuk MOSAR dan Malim Gunung dikerah ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi mangsa ditemui, pasukan Mosar terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

"Mangsa kemudian dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan Robinson stretcher oleh pasukan penyelamat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebaik tiba di Timpohon Gate, mangsa diserahkan kepada pasukan EMRS untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya jam 2.41 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 5:27 PM