Ahmad Faizal berucap sebelum merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Nasom di Dewan Bestari, Universiti Kuala Lumpur. FOTO IHSAN NASOM
Ahmad Faizal berucap sebelum merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Nasom di Dewan Bestari, Universiti Kuala Lumpur. FOTO IHSAN NASOM
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) dialu-alukan untuk menggunakan fasiliti yang dikendalikan Kementerian Belia dan Sukan bagi acara sukan sebagai menyokong komuniti berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau akan memastikan pihaknya untuk melihat pelbagai kaedah lain untuk berkolaborasi dengan NASOM dalam usaha membantu golongan autisme.

"Kementerian ini sudah berkerjasama dengan NASOM sejak 2017 ketika diterajui oleh Khairy Jamaluddin dalam pelbagai program termasuk pembangunan modul latihan selain kempen kesedaran dan penerimaan autisme melalui The Rock Walk 2018.

"Selain itu, terdapat juga sambutan Hari Kesedaran Austisme pada 2 April 2018 yang disambut di Kafe Rimau membabitkan tenaga kerja daripada Autism Spectrum Disorder (ASD)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Nasom di Dewan Bestari, Universiti Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Ahmad Faizal berkata, pihaknya juga ada memberi sokongan kepada Program Pembangunan Bakat Sukan NASOM 2021, baru-baru ini.

"Ia membabitkan latihan sukan badminton, taekwando dan bowling," katanya.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Pengerusi NASOM, Julian Wong dan dihadiri ahli lembaga pengarah, ibu bapa dan wakil daripada pelbagai agensi kerajaan dan badan korporat.

Sementara itu, Presiden NASOM Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharifuddin mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Faizal kerana sudi meluangkan masa untuk merasmikan mesyuarat berkenaan.

Dalam pembentangan laporan tahunan NASOM, Julian memaklumkan komuniti itu berdepan pelbagai cabaran dalam melaksanakam program selain isu kewangan berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana masih ramai individu yang menyokong dan memberi bantuan kepada NASOM secara tahunan.

Katanya, NASOM berharap dapat menjalinkan kolaborasi dengan lebih banyak organisasi dan persendirian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 9:44 PM