KAKITANGAN NASOM membantu mangsa banjir. FOTO ihsan NASOM
KAKITANGAN NASOM membantu mangsa banjir. FOTO ihsan NASOM

Kuala Lumpur: Lembaga Pengurusan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) menyatakan rasa simpati dan sedih dengan nasib menimpa mangsa bencana banjir yang melanda negara terutama di Selangor dan Pahang.

Dalam kenyataannya, NASOM berkata, terdapat dalam kalangan guru, kakitangan, ibu bapa dan pelajarnya terjejas akibat bencana banjir yang melanda pada 17 Disember lalu.

"Kediaman mereka dinaiki air. Terdapat guru, kakitangan dan ahli keluarga yang terkandas di rumah selama tiga hari sementara menunggu pihak berkuasa memindahkan mereka ke kawasan selamat.

"Banyak harta benda, barangan elektrik dan dokumen penting musnah dalam banjir ini," katanya.

Justeru, NASOM melancarkan tabung khas bagi membantu guru, kakitangan dan keluarga yang terjejas akibat bencana itu.

"Pengerusi NASOM, Julian Wong merayu orang ramai sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir.

"Lembaga Pengarah NASOM, kakitangan sekretariat dan guru dari pelbagai cawangan turut menawarkan bantuan untuk membersihkan kediaman kakitangan serta pelajarnya yang terjejas akibat banjir," katanya.

Sumbangan boleh disampaikan menerusi akaun bank CIMB 8002646241 atas nama The National Autism Society of Malaysia (reference: DaruratBanjir), aplikasi The Noor (crowdfunding) atau laman web www.nasom.org.my untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 3:34 PM