MASALAH Gangguan Spektrum Autisme (ASD) bukanlah penghalang untuk belia menimba kemahiran pemasaran digital dan E-Dagang bagi mendapatkan peluang pekerjaan.
MASALAH Gangguan Spektrum Autisme (ASD) bukanlah penghalang untuk belia menimba kemahiran pemasaran digital dan E-Dagang bagi mendapatkan peluang pekerjaan.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


MASALAH Gangguan Spektrum Autisme (ASD) bukanlah penghalang untuk belia menimba kemahiran pemasaran digital dan E-Dagang bagi mendapatkan peluang pekerjaan.

Untuk itu, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) melancarkan program Pakar E-dagang Bertauliah (CES) Tahap 1, bagi memperkasakan lagi belia yang mengalami masalah autisme di negara ini.

Program latihan dan perantis khusus itu secara tidak langsung dapat memperkasakan komuniti autisme dengan kemahiran pemasaran digital dan E-Dagang, seterusnya membuka peluang kerjaya baharu.

Sejajar dengan tema Hari Kesedaran Autisme Sedunia (WAAD), iaitu Keterangkuman di Tempat Kerja: Cabaran dan Peluang dalam Dunia

Pasca Pandemik, program sulung itu mengalu-alukan penyertaan belia autisme yang berusia antara 16 hingga 21 tahun di seluruh negara untuk mendaftar.

Ketua Program NASOM - Vokasional, Saffiza Anuar berkata, industri runcit dan hospitaliti antara sektor yang kebiasaannya mengambil individu dewasa yang mengalami masalah autisme sebagai pekerja.

Katanya, Program Pakar E-Dagang Bertauliah (CES) Tahap 1 itu membolehkan mereka mengolah tradisi dan membuka peluang baharu bagi komuniti autisme di negara ini.

"Kami percaya, seiring dengan perkembangan teknologi, golongan muda kini perlu dipupuk dengan kemahiran yang relevan.

"Ia secara tidak langsung dapat mewujudkan peluang saksama dalam dunia digital bagi membolehkan golongan autisme melangkah maju sebagai insan berdikari yang mampu menyumbang sebagai anggota masyarakat produktif, " katanya.

Menurut Saffiza lagi, NASOM juga berbangga dapat berganding bahu dengan Y Ventures Group Ltd, sebuah syarikat E-Dagang yang tersenarai di Singapura.

Latihan yang dikendalikan syarikat itu dengan sokongan NASOM adalah program peringkat asas yang disesuaikan mengikut pengalaman dan kemahiran setiap pelajar.

"Pelajar di Tahap 1 akan menjalani latihan selama enam minggu membabitkan enam (6) kemahiran asas E-Dagang, iaitu mencipta laman sesawang WordPress, cara memasarkan perniagaan di Internet, alat fotografi digital, menggunakan media sosial dalam perniagaan, cara mencapai kedudukan teratas dalam enjin pencarian dan pengenalan kepada Adobe Photoshop CC.

"NASOM percaya, individu dengan autisme, terutamanya pelajar kursus akan mendapat manfaat daripada bimbingan pakar-pakar industri.

"Tambahan pula, peluang pekerjaan langsung menerusi latihan amali dalam program itu juga akan membolehkan pelajar mengguna pakai ilmu mereka dalam dunia kerjaya.

"Inisiatif ini dilaksanakan bagi membuktikan bahawa walaupun menghadapi gangguan spektrum autisme, mereka juga mempunyai keupayaan setanding golongan belia yang sebaya," katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Y Ventures Group Ltd, Adam Low berkata, pihaknya teruja untuk menawarkan kepakaran dan pengalaman kepada NASOM untuk membantu mencungkil bakat belia yang mengalami autisme.

"Menerusi program itu, kami ingin membantu golongan belia memulakan perjalanan sebagai pelopor Digital dan E-Dagang Masa Depan.

"Ilmu dan pengalaman luas yang ditimba selama 22 tahun memberi inspirasi kepada kami untuk merintis jalan kerjaya baharu bagi masyarakat yang kurang keupayaan sosial, " katanya.

Sementara itu, program berkenaan akan dikendalikan menerusi platform dalam talian dan terbuka kepada semua belia autisme di Malaysia.

Pengambilan pertama bermula pada pertengahan April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 6:32 AM