Faliq Lajim


JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengesan 3,311 pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri itu keciciran pelajaran tahun ini.

Pengarahnya, Mohd Salleh Mohd Kassim berkata, daripada data itu, daerah Petaling Perdana mencatatkan jumlah tertinggi diikuti Klang, Hulu Langat dan Gombak.

Beliau berkata, pada kebiasaannya peratus paling besar dan ketara dengan masalah keciciran di daerah itu adalah pelajar sekolah menengah.

“Pelbagai faktor membabitkan keciciran murid antaranya disebabkan masalah keluarga, kesihatan, murid warga tanpa dokumen dan dibuang sekolah.

“Ada juga yang kita kesan pelajar ini bekerja untuk sara hidup. Selain itu, lokasi sekolah yang jauh, tidak berminat ke sekolah serta terbabit dengan pengaruh dadah juga mendorong faktor keciciran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Sifar Murid Cicir (PSMC) Negeri Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Klang, Jalan Meru, Klang hari ini.

Mohd Salleh (tengah) beramah mesra bersama murid yang menerima surat penempatan. FOTO Faiz Anuar
Mohd Salleh (tengah) beramah mesra bersama murid yang menerima surat penempatan. FOTO Faiz Anuar

Dalam pada itu, Mohd Salleh berkata, pihaknya mensasarkan menyelesaikan 60 peratus bersamaan 1,987 murid untuk kembali ke sekolah melalui PSMC dalam tempoh setahun.

“Dari jumlah itu, kita sasarkan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) kehadiran pelajar yang tercicir itu dalam kadar lebih 90 peratus apabila mereka kembali bersekolah nanti.

“Bagi murid sekolah rendah kita sasarkan KPI kehadiran 93 peratus. Sementara itu, bagi pelajar sekolah menengah pula kita sasarkan KPI kehadiran 90 peratus.

“Setakat dua bulan ini, kesan positif yang ketara ditunjukkan, ada penurunan dari segi bilangan keciciran murid.

“Ramai sudah kita bawa masuk kembali ke sekolah contohnya tadi tujuh murid di enam sekolah rendah dan seorang sekolah menengah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, PSMC akan digerakkan secara berkesan melalui intervensi berfokus melalui kerjasama serta permuafakatan dengan pembabitan pelbagai agensi, organisasi dan pemimpin setempat.

“PSMC merangkumi tiga sub Jawatankuasa Utama bertujuan mengurangkan peratus murid cicir iaitu Jawatankuasa Penyiasatan Cicir (JPMC), Jawatankuasa Peningkatan Enrolmen Pendidikan Menengah (JPEM) dan Jawatankuasa Pengurusan Murid Berisiko Cicir (JPMBC), ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 3:54 PM