GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Ahli perniagaan berputih mata apabila kerugian lebih setengah juta ringgit selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, menurut laporan mangsa berminat menyertai pelaburan di Bursa Saham Malaysia yang diiklankan di Facebook.

Menurutnya, mangsa kemudian diberikan penerangan pelaburan melalui satu pautan menggunakan laman web Accerx System.

Katanya, melalui laman web itu mangsa boleh membuat transaksi pelaburan dan melihat statistik pergerakan graf di Bursa Saham Malaysia.

"Mangsa kemudian membuat pembayaran sebanyak RM688,300 dengan 19 kali transaksi ke dalam 12 akaun berbeza dengan dijanjikan keuntungan sebanyak RM2 juta apabila mencapai tarikh matang pada 24 Januari 2024.

"Selepas daripada tempoh yang dijanjikan, mangsa ingin mengeluarkan keuntungan tersebut dan mangsa diminta untuk membuat pembayaran pengeluaran sebanyak satu peratus daripada jumlah keuntungan," katanya.

Menurutnya, oleh kerana tidak membuat pembayaran seperti yang diminta, mangsa kemudian disekat dari mengakses semula ke laman web Accerx System.

Katanya, polis menasihati masyarakat supaya sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud dan tidak mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.

Beliau berkata, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Terengganu (JSJKT) bermula 28 Januari 2024 hingga 3 Februari 2024, sebanyak 136 laporan polis diterima berbanding 115 laporan bagi minggu sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 21 kes.

Tambah Mazli daripada jumlah tersebut, sebanyak 36 kertas siasatan dibuka dengan jumlah kerugian sebanyak RM1,095,762

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 11:32 AM