Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Malaysia masih menunggu tarikh muktamad penerimaan ubat-ubatan antiviral keluaran Pfizer untuk diberikan kepada pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan sudah selesai menandatangani perolehan itu namun kelewatan berlaku di pihak Pfizer.

"Kita dah tandatangan dengan Pfizer, cuma Pfizer yang lambat.

"Saya dah beritahu Pfizer tadi, kalau katakan media tanya, saya akan cakap masalah di Pfizer sekarang ini.

"Kita dah tandatangan semua dan mereka kata mereka nak hantar pada hujung bulan Mac. Dalam tempoh masa seminggu lagi. Kita masih sedang menunggu tarikh yang muktamad bila nak sampai (ubat antiviral)," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Pada 5 Mac lalu, beliau dilaporkan berkata, ubat itu dijangka tiba dua minggu lagi dan bekalan akan digunakan kepada 110,000 pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi.

Sebelum itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, Malaysia meluluskan penggunaan pil untuk rawatan Covid-19 keluaran Pfizer, Paxlovid secara pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana.

Sementara itu, berhubung dua pelancong Malaysia yang diusir dari Jerman selepas didapati mereka menerima dos penggalak yang berbeza daripada dos primer lengkap, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meminta penjelasan dari negara tertentu berhubung standard ditetapkan mereka dalam menerima pelancong yang sudah divaksin dari Malaysia.

KHAIRY berucap pada program forum Designing the future - What's Next for Malaysia. FOTO Hazreen Mohamad
KHAIRY berucap pada program forum Designing the future - What's Next for Malaysia. FOTO Hazreen Mohamad

Ini kerana katanya, standard yang ditetapkan setiap negara adalah berbeza dan atas dasar itu perlunya satu libat urus dengan mengadakan pertemuan dengan mereka.

"Contohnya Perancis, kalau dua dos Sinovac dan satu dos penggalak boleh...ada negara yang standard berbeza-beza...ia lebih pada libat urus.

"Apabila mereka memahami kesan Sinovac itu bagus dan sebagainya mungkin mereka akan membenarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 8:39 PM
KHAIRY melawat pameran sejarah St John Ambulans Malaysia selepas Majlis Lawatan Kerja dan Menandatangani Memorandum Persefahaman St John Ambulans Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia di Cheras. FOTO Aizuddin Saad
KHAIRY melawat pameran sejarah St John Ambulans Malaysia selepas Majlis Lawatan Kerja dan Menandatangani Memorandum Persefahaman St John Ambulans Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia di Cheras. FOTO Aizuddin Saad