MOHD Ali. FOTO Ihsan USM
MOHD Ali. FOTO Ihsan USM
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam akan menerima Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan pada sidang pertama Upacara Konvokesyen ke-59 Universiti Sains Malaysia (USM), di Istana Arau, Perlis, 29 Mac ini.

Penganugerahan itu ialah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan universiti berkenaan terhadap Mohd Ali berikutan kecemerlangannya dalam bidang ekonomi yang mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, Mohd Ali juga adalah Alumni Terbilang USM yang terkenal dengan ketokohan dan banyak menyumbang kepada aspek kemajuan ilmu, perkembangan dan penyebaran pengetahuan serta kepakaran.

Katanya, pencapaian beliau membuktikan bahawa graduan dalam bidang Sains Sosial boleh menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara secara menyeluruh, seiring dengan falsafah dan ilmu Sains Sosial bagi menghasilkan pemimpin yang berwibawa dan disegani.

"USM turut menzahirkan rasa bangga kerana Mohd Ali menjadi Alumni USM pertama yang mengharumkan nama universiti apabila dilantik sebagai YDP Negeri Melaka Ketujuh iaitu satu kedudukan paling tinggi dalam negeri.

"Beliau juga mengharumkan nama universiti dengan menerajui negara di pelbagai peringkat jawatan kerajaan dan jawatan politik sehingga dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka Kesembilan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Dalam upacara berkenaan, Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan bagi mempengerusikan sidang satu pada jam 10.30 pagi.

Manakala sidang kedua hingga ke-12 pula bermula pada 21 Mei hingga 31 Mei depan akan berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM Pulau Pinang.

"Upacara konvokesyen itu turut meraikan sejumlah 6,706 graduan yang akan menerima ijazah masing-masing termasuk Ijazah Tinggi dan Sarjana iaitu seramai 2,231 orang, Ijazah Sarjana Muda (4,425) dan Diploma Kejururawatan (50).

"Ia akan dipengerusikan oleh Pro Canselor USM iaitu Tan Sri Datuk Dr Zulkefli A Hassan, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Tan Sri Datuk Dr M Jegathesan manakala sidang dua hingga ke-12, penganugerahan ijazah akan dijalankan secara satu sesi setiap hari, " katanya lagi.

Menurut Faizal, Tuanku Canselor juga turut memperkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis Anugerah Sanggar Sanjung pada 28 Mac ini di Mess Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia, Kangar, Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 4:11 PM