Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Walaupun dia sudah tiada, biarlah ijazah ini menjadi pembakar semangat kepada adik-beradiknya," kata Abdul Malek Abdul Samad, 53.

Abdul Malek memberi reaksi itu ketika ditemui selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Filem dan Penyiaran mewakili arwah anaknya, Muhammad Nurshamril yang meninggal dunia akibat kemalangan Oktober lalu.

Ijazah berkenaan disampaikan Pro Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Datuk Dr Zulkefli A Hassan pada Upacara Konvokesyen USM Ke-60 di sini, hari ini.

Ibu arwah Sabariah Nawin, 53, ditemani dua anaknya, Ummul Widad, 15, Akhif Al-Atiff, 13, turut hadir ke upacara konvokesyen itu.

Bercerita lanjut mengenai anaknya, Abdul Malek berkata, arwah meminati bidang filem dan penyiaran sejak kecil.

Katanya, apabila berkelapangan ataupun cuti semester, Muhammad Nurshamril biasanya bekerja sambilan dengan syarikat produksi bagi menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam bidang terbabit.

"Sudah tentu saya kagum dengan usahanya selama ini kerana dia begitu meminati bidang berkenaan.

"Kami reda, biarpun dia tidak sempat menggenggam ijazah, namun tetap berbangga dengan kejayaan ini," katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Menceritakan kemalangan yang menimpa anaknya, Abdul Malek berkata, kejadian berlaku ketika arwah pulang dari penggambaran di Setiu, Terengganu apabila kereta dipandu terbabas.

Menurutnya, beberapa minggu sebelum kejadian, Muhammad Nurshamril sempat mengatur perjumpaan bersama ramai rakannya berkongsi pengalaman dan ilmu mengenai bidang yang diceburinya itu.

"Saya dapat tahu perjumpaan itu bagi mereka berkongsi ilmu dan tidak sangka ia adalah pertemuan akhir mereka.

"Dia pernah menyatakan hasrat menyambung pengajian ke luar negara, namun tidak kesampaian," katanya.

Pada sidang ke-10 upacara konvokesyen itu, seramai 738 graduan menerima ijazah Sarjana Muda dalam bidang masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 3:56 PM
Abdul Malek (dua dari kanan) menunjukkan gambar Muhammad Nurshamril, yang meninggal dunia pada Oktober tahun lalu di Bilik Kenamaan Dewan Tunku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM). FOTO MIKAIL ONG
Abdul Malek (dua dari kanan) menunjukkan gambar Muhammad Nurshamril, yang meninggal dunia pada Oktober tahun lalu di Bilik Kenamaan Dewan Tunku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM). FOTO MIKAIL ONG