Lee Chong Wei
Lee Chong Wei
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Datuk Lee Chong Wei antara individu yang bakal menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan pada Upacara Konvokesyen Ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM).

Turut sama ialah mantan Naib Canselor USM Datuk Dr Asma Ismail yang bakal menerima gelaran Profesor Emerita.

Naib Canselor USM Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, upacara berkenaan dijangka berlangsung di Istana Arau, Perlis pada 2 Disember ini pada 10.30 pagi diikuti sidang kedua hingga ke-10 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM Pulau Pinang pada 13 hingga 21 Disember nanti.

Menurutnya, seramai 5,964 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk ijazah tinggi (PhD dan Sarjana) iaitu seramai 1,899 individu, ijazah sarjana muda (4,031) dan Diploma Kejururawatan (34).

"Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan bagi mempengerusikan sidang satu dengan membabitkan penganugerahan kepada lima penerima utama.

"Antara penerima lain ialah tokoh industri, Dr David Lacey (Ijazah Kehormat Doktor Sains), mantan akademia USM Dr Zhari Ismail (Prof Emeritus) dan Penuntut Terbaik Segala Lapangan Khaw Teng Kang yang akan menerima Pingat Emas Canselor," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Faisal Rafiq lagi, sidang kedua hingga ke-10 pula akan dipengerusikan Pro Canselor USM iaitu Tan Sri Datuk Dr Zulkefli A Hassan, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Tan Sri Datuk Dr M Jegathesan.

Katanya, upacara konvokesyen berkenaan akan dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Hanya graduan yang lengkap dua dos vaksin sahaja dibenarkan menyertai upacara konvokesyen pada kali ini.

"Bagi sidang dua hingga 10 di DTSB, penganugerahan ijazah akan dijalankan secara satu sesi setiap hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 5:01 PM