Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) melalui udara antara Ipoh dan Singapura masih dalam proses kelulusan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Menurutnya, pengurusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan perkara itu kepada pihaknya, baru-baru ini.

"Walaupun kita belum lagi membuka VTL Ipoh-Singapura seperti yang dilakukan di Pulau Pinang, mereka (MAHB) sudah bersedia.

"Perkara ini dalam peringkat perbincangan dan perlu kelulusan Kerajaan Pusat," katanya pada sidang media selepas Jerayawara Dasar Kebudayaan Negara (Daken) di Auditorium Kompleks Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara Perak, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin berkata, kerajaan sentiasa mengutamakan keselamatan dalam industri pelancongan dan panduan terbaik untuk sektor itu beroperasi dalam tempoh peralihan fasa endemik.

Mengakui masih wujud kebimbangan orang untuk melancong, beliau berkata, perkara asas dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 wajar dipatuhi terutama dalam mewujudkan persekitaran selamat selain pemakaian pelitup muka dan disinfeksi kawasan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan pembukaan sempadan negara mulai 1 April dan negara memasuki fasa peralihan endemik.

Selain itu, 16 Mac lalu laluan baharu VTL udara dibuka membabitkan Pulau Pinang-Singapura selepas VTL pertama bagi laluan Lapangan Terbang Changi, Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 November 2021.

Gambar hiasan. FOTO Bernama.
Gambar hiasan. FOTO Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 3:37 PM