MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini. FOTO Bernama
MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tujuh komponen perlu dipenuhi sebagai persediaan negara untuk beralih ke fasa endemik atau 'Reopening Safely' dalam menuju ke arah persekitaran hidup bersama Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia merangkumi satu prosedur operasi standard (SOP) dengan sembilan garis panduan; sistem amaran dan tindakan (HAS); Strategi Ujian Nasional; serta TRIIS (Ujian, Laporan, Asingkan, Maklumkan, Cari).

Selain itu, katanya, automasi FTTIS (Automated Find, Test, Trace, Isolate, Support); pembukaan sempadan negara secara berperingkat; dan duta pemerkasaan komuniti adalah antara komponen berkenaan.

"Namun semua ini bergantung kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang akan diadakan dalam minggu ini atau minggu depan.

"Peralihan ke fasa endemik akan dilakukan secara serentak di seluruh negara, berdasarkan kepada kriteria antarabangsa termasuk ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," " katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, ia antara perkara diputuskan dalam Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, hari ini bagi memastikan setiap perancangan ke arah endemik berjalan lancar, difahami semua pihak dan tidak menjejaskan usaha membendung penularan wabak itu di negara ini.

Menurutnya, peralihan ke fasa edemik adalah langkah kerajaan seterusnya selepas kebanyakan negeri berada di Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kecuali Sarawak dan Kelantan.

Katanya, kerajaan secara berhati-hati dan berperingkat telah memberikan pelbagai kelonggaran termasuk pembukaan sektor industri, kebenaran rentas negeri, pembukaan semula sekolah dan institut pengajian tinggi serta melaksanakan gelembung pelancongan.

"Pembukaan semula sempadan negara secara berperingkat dan berhati-hati antara aspek penting dalam peralihan ke fasa endemik.

"Ia merangkumi aspek pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan; kemasukan pekerja asing di bawah Kementerian Sumber Manusia; perjalanan berkaitan perniagaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; serta skim laluan perjalanan vaksinasi (VTL) udara di bawah Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Luar Negeri.

"Skim VTL udara membolehkan individu yang divaksin lengkap melakukan perjalanan ke beberapa negara terpilih tanpa terikat dengan kewajipan menjalani kuarantin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 9:29 PM