Amir Abd Hamid

Sepang: Pesawat Singapore Airlines SQ 108 yang membawa pengembara menggunakan kemudahan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) penerbangan pertama mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 9.25 pagi, hari ini.

Ketibaan pesawat berkenaan yang membawa 240 penumpang VTL itu menandakan secara rasminya pembukaan semula sempadan mod udara antara KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi Singapura sejak pandemik Covid-19.

Di bawah VTL, pelancong yang lengkap divaksin boleh membuat perjalanan antara Malaysia dan Singapura dan tidak perlu jalani kuarantin atau Notis Duduk Rumah (SHN) jika melepasi ujian Covid-19.

Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengarah Urusan MAHB Datuk Iskandar Mizal Mahmood antara yang hadir menyambut kumpulan penumpang itu.

Zambry berkata, beliau melihat proses penerimaan penumpang VTL itu berjalan dengan lancar.

PENUMPANG tiba untuk mendaftar penerbangan pertama dari Malaysia ke Singapura di bawah program VTL ketika tinjauan di KLIA. FOTO Aizuddin Saad
PENUMPANG tiba untuk mendaftar penerbangan pertama dari Malaysia ke Singapura di bawah program VTL ketika tinjauan di KLIA. FOTO Aizuddin Saad

"Ini penerbangan bersejarah kerana selama ini kita tahu bahawa antara Singapura dan Kuala Lumpur adalah sektor paling sibuk di dunia.

"Hari ini kita dapat menyaksikan semula penerbangan dapat dilakukan dengan jumlah penumpang yang besar.

"Dari segi proses dilakukan, kita (MAHB) berharap penumpang yang tiba di sini berpuas hati dengan layanan dan proses perlu dilalui," katanya dalam sidang media di KLIA di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak MAHB akan memperbaiki kelancaran proses dari semasa ke semasa sekiranya ada halangan tertentu yang melambatkan proses.

Katanya, MAHB juga sentiasa bersiap sedia menerima kedatangan penumpang dan pelancong dari serata dunia.

"Sepertimana yang kita sedia maklum, KLIA adalah antara lapangan terbang terkenal di dunia.

"Malah yang terkini, kita adalah terbaik dari segi pengurusannya.

"Dari segi persiapan (perluasan kemudahan VTL dengan negara lain), kita sudah bersiap sedia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 11:12 AM