Abdul Jalal (tengah) dan dua anaknya gembira bertemu dengan isterinya, Khadijah (dua dari kanan) dan anak, Mikayl Abdul Jalal, 22 (dua dari kiri) sejurus tiba di KLIA dari Singapura. FOTO BERNAMA
Abdul Jalal (tengah) dan dua anaknya gembira bertemu dengan isterinya, Khadijah (dua dari kanan) dan anak, Mikayl Abdul Jalal, 22 (dua dari kiri) sejurus tiba di KLIA dari Singapura. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Sepang: Ahli keluarga yang terpisah, ada yang selama hampir dua tahun ekoran pandemik Covid-19, bertemu semula dengan mereka yang disayangi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, menerusi program Laluan Perjalanan Vaksinasi melalui udara (VTL-udara) bermula hari ini.

Ibu bapa yang tidak dapat bertemu anak-anak, isteri yang menanti kepulangan suami akhirnya dapat menatap wajah ahli keluarga mereka yang menaiki penerbangan pesawat pertama VTL dari Singapura muncul dari Balai Ketibaan KLIA.

Pesawat Singapore Airlines penerbangan SQ108 yang membawa 240 penumpang mendarat di KLIA pada 9.25 pagi disambut dengan tembakan meriam air, sementara warga Malaysia yang kembali hari ini disambut dengan air mata kegembiraan oleh ahli keluarga yang menanti kepulangan mereka.

Seorang daripada penumpang, Khadijah Ahmad, 54, berkata dia rasa lega dan gembira kerana Malaysia dan Singapura bersetuju melaksanakan VTL-udara kerana tidak dapat pulang ke tanah air selama hampir dua tahun sejak 2020 berikutan pandemik.

"Saya rasa gembira dan teruja untuk bertemu keluarga saya," kata Khadijah yang pulang bersama anak lelakinya dan disambut suaminya Abdul Jalal Mohd Tahir, 58.

"Sebelum ini saya sudah memohon My Travel Pass untuk kembali ke tanah air, tetapi tidak diluluskan. VTL-udara ini sudah pasti satu program yang baik dan ahli keluarga boleh bertemu selepas terpisah dalam masa yang lama," katanya kepada wartawan ketika ditemui di KLIA, di sini.

Abdul Jalal pula yang nyata teruja kerana akhirnya dapat bertemu kembali isteri dan anaknya berkata: "Sebelum ini, kami hanya berhubung antara satu sama lain menerusi telefon ataupun panggilan video dan kini kami boleh meluangkan masa bersama."

KLIA, pintu masuk antarabangsa utama Malaysia, mula menerima ketibaan pengembara dari Singapura di bawah VTL-udara yang dipersetujui Kerajaan Malaysia dan Singapura.

Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) akan menerima enam penerbangan VTL secara keseluruhan hari ini, membawa 1,300 penumpang dari Singapura.

Pada 8 November lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan Malaysia dan Singapura akan melancarkan VTL antara Lapangan Terbang Changi dan KLIA, hari ini.

Di bawah VTL, individu yang lengkap divaksin dibenarkan untuk melakukan perjalanan antara Singapura dan Malaysia tanpa perlu menjalani kuarantin atau Notis Duduk Rumah (SHN) jika mereka negatif ujian Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 8:07 PM