ISKANDAR
ISKANDAR

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) menyambut ketibaan kumpulan penumpang bagi penerbangan pertama Program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara Singapura-Pulau Pinang, kelmarin.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Iskandar Mizal Mahmood turut mengalu-alukan langkah yang disifatkannya sebagai usaha kerajaan untuk merancakkan semula aliran penumpang antarabangsa serta pelancongan yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi.

Ini berikutan kedudukan LTAPP sebagai lapangan terbang kedua paling sibuk selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari segi aliran trafik penumpang antarabangsa.

"Program (VTL) yang turut melibatkan Pulau Pinang akan menyumbang kepada usaha bagi memulihkan industri pelancongan berikutan kedudukan negeri itu sebagai pintu masuk ke negeri-negeri di utara Malaysia yang membawa manfaat kepada Kedah, Perak dan Perlis.

"Sebagai permulaan, kami menjangkakan pergerakan 1,000 hingga 2,000 penumpang VTL dalam operasi minggu pertama," katanya dalam satu kenyataan.

Iskandar juga menyifatkan program VTL tersebut sebagai positif dalam menggalakkan perjalanan antarabangsa secara lebih selamat.

"Biarpun sempadan negara akan hanya dibuka semula mulai 1 April ini, program ini akan memberi manfaat bagi perjalanan antara Malaysia dan negara-negara yang masih belum membuka sempadan sepenuhnya.

"Malah, sama seperti di KLIA, LTAPP turut menempatkan kemudahan pengendali perkhidmatan saringan swasta bagi menyediakan ujian Covid-19 di lapangan terbang itu. Kami juga sudah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk melaksanakan proses 'uji dan lepas' penumpang yang tiba di bawah program VTL udara itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 7:15 AM