Keadaan dua kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Kuala Ampang di sini, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Keadaan dua kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Kuala Ampang di sini, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Tidak sedar memandu dalam keadaan melulu. Itu alasan diberikan pemandu kereta Kia Forte yang terbabit kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Kuala Ampang di sini, semalam.

Satu rakaman video yang menunjukkan kereta berkenaan melanggar bahagian belakang kenderaan lain itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku 10.05 pagi di lokasi terbabit.

"Hasil siasatan awal mendapati kereta Kia Forte dipandu seorang lelaki hilang kawalan ketika mengelak sebuah kenderaan lalu melanggar bahagian belakang kereta Proton Wira.

"Kereta itu kemudian berpusing dan melanggar pula bahagian belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stepwgn Spada sebelum terbabas ke lorong kiri.

"Akibat kejadian, lelaki itu mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan manakala pemandu dua lagi kenderaan tidak cedera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis sudah mendapatkan sampel darah lelaki itu untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi ujian toksikologi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya kepada orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 4:55 PM