KENDERAAN dinaiki dua suspek yang merempuh penghadang sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Ampang, hari ini.
KENDERAAN dinaiki dua suspek yang merempuh penghadang sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Ampang, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA lelaki ditahan polis selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh penghadang sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di Ampang, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, kenderaan itu dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, ketika kejadian, anggota bertugas sudah memberi isyarat kepada kedua-dua suspek masing-masing berusia 29 dan 33 tahun untuk memberhentikan kenderaan, namun pemandu kereta jenis Proton Wira itu merempuh penghadang di bahagian tepi jalan SJR dilakukan.

"Pemandu dilapor memandu kenderaan secara melulu dipercayai dalam keadaan mabuk. Tiada kecederaan terhadap anggota bertugas di kawasan SJR itu dalam kejadian berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Azmi berkata, kedua-dua lelaki itu memaklumkan mereka dalam perjalanan mahu pulang ke rumah yang terletak di Taman Kajang Utama.

"Kedua-dua suspek didapati dengan sengaja tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan gagal memberi alasan munasabah mengenai pergerakan mereka.

"Mereka ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 5 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 26(2) Akta Polis 1967.

"Orang ramai awam dinasihatkan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis dan mematuhi PKP yang dilaksanakan mengikut undang-undang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 2:44 PM