Penunggang motosikal terbaring selepas terbabit dalam kemalangan di di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Kampung Pandan, dekat Ampang Jaya pagi hari ini. Foto Ihsan PDRM
Penunggang motosikal terbaring selepas terbabit dalam kemalangan di di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Kampung Pandan, dekat Ampang Jaya pagi hari ini. Foto Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang Jaya: Lelaki menunggang motosikal melawan arus di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Kampung Pandan mengala ke Gombak di sini, hari ini menjadi punca kemalangan membabitkan dua lagi kenderaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kemalangan itu berlaku pada 5.25 pagi membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah kereta Perodua Bezza, Proton Saga dan motosikal Honda Wave.

"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan itu berlaku apabila motosikal berkenaan dipercayai ditunggang secara melawan arus di lorong tengah MRR2.

"Tindakan itu menyebabkan motosikal berkenaan berlanggar dengan kereta Proton Saga.

"Perodua Bezza yang berada di belakangnya dikatakan tidak sempat menekan brek lalu melanggar belakang Proton Saga terbabit," katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Farouk berkata, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit yang berusia 22 tahun parah di muka serta kaki dan dibawa untuk rawatan di Hospital Ampang.

"Kedua-dua pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Sarjan Nur Nadia Atira di talian 017-2288085 untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 3:56 PM