Lelaki tular berlagak ala samseng jalanan dalam kejadian di MRR2 baru-baru ini tampil untuk dirakam keterangan. FOTO Ihsan Polis
Lelaki tular berlagak ala samseng jalanan dalam kejadian di MRR2 baru-baru ini tampil untuk dirakam keterangan. FOTO Ihsan Polis
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Ampang Jaya: Pemandu kereta tular berlagak ala samseng jalanan semasa memotong barisan di susur Pandan Indah, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini baru-baru ini sudah tampil memberi keterangan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 14 saat memaparkan kejadian itu tular di media sosial semalam.

"Pemandu Perodua Myvi itu hadir ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya malam tadi untuk memberi keterangan berkenaan kejadian.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 6(1) Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Memotong barisan)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan video tular terbabit, lelaki berusia 39 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Myvi berwarna hitam itu datang dari arah kanan lalu cuba memotong semula ke kanan secara melulu lalu dihon sebuah kereta lain.

Akibat berang, pemandu Myvi terbabit dilihat menghayun tangan ke luar tingkap beberapa kali.

Kejadian dipercayai berlaku pada Khamis lalu, 5.47 petang ketika laluan berkenaan sesak dengan kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 3:31 PM