Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis menahan seorang lelaki warga emas kerana disyaki terbabit dengan penjualan rokok tanpa cukai di sebuah rumah bertingkat di Jalan Bagan Serai di sini, Isnin lalu.

Suspek berusia 62 tahun itu ditahan menerusi Op Kontraban dijalankan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada 7 malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, penahanan lelaki itu membawa kepada penemuan rokok pelbagai jenama dan tidak berjenama tanpa cukai di bahagian tengah rumah itu.

Katanya, rampasan itu membabitkan 1,984 karton rokok pelbagai jenama; 18,240 karton rokok tidak berjenama dan 364,800 batang rokok pelbagai jenama yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM275,000.

"Semua rokok tidak bercukai itu akan dirujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi semakan lanjut serta pengesahan ketulenan pelekat setem cukai serta jumlah cukai yang tidak dibayar mengikut peruntukan undang-undang negara.

"Ia akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi penilaian kandungan tembakau dan jenis rokok dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya pada sidang media di IPD Timur Laut, di sini, hari ini.

Soffian berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah serta tiada rekod lampau membabitkan jenayah atau dadah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai penghantar bekalan rokok di kedai runcit sekitar Georgetown sejak lima bulan lalu dengan upah RM3,000 sebulan.

Menurutnya, lelaki itu turut menjadi penjaga rumah itu yang dijadikan tempat penyimpanan stok rokok dan hanya akan datang beberapa kali ke rumah itu.

"Rumah itu disewa dan dijadikan sebagai stor simpanan rokok tidak bercukai sejak dia mula bekerja.

"Suspek direman selama tujuh hari sehingga 21 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 116C (2) Akta Kastam 1967.

"Polis sedang menyiasat sama ada terdapat individu lain terbabit dalam kegiatan itu," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Timur Laut di talian 04-2181837; WhatsApp (019-5641822) atau laman Facebook rasmi PDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 6:18 PM