GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor menahan dua lelaki serta merampas 3,395 karton rokok disyaki tanpa cukai pelbagai jenama di dua lokasi di daerah ini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya sebelum itu menahan sebuah van dinaiki dua lelaki berusia 30 dan 40 tahun di jalan besar di hadapan Masjid Jamek Sultan Ibrahim, pada 2 petang.

"Pemeriksaan lanjut menemui 945 karton rokok pelbagai jenama di dalam van terbabit dipercayai tidak bercukai.

"Tangkapan terhadap dua suspek itu dibuat dan kita merampas rokok terbabit kerana disyaki tidak membayar cukai kepada kerajaan Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, soal siasat ke atas suspek membawa kepada penemuan 2,450 karton rokok di sebuah rumah di Kampung Pasir Tuntung, Bukit Rotan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati semua rokok yang dirampas disyaki tidak bercukai.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM203,700 dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

"Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor dan direman sehingga 27 Disember ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 6:55 PM