SUSPEK yang ditahan polis kerana dipercayai terbabit penyeludupan rokok. FOTO ihsan polis
SUSPEK yang ditahan polis kerana dipercayai terbabit penyeludupan rokok. FOTO ihsan polis
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Remaja disyaki konco sindiket penyeludupan rokok tidak sempat mengedar bekalan ke kedai runcit apabila ditahan di Taman Perindustrian Parit Sulong, dekat sini, 11 pagi, semalam.

Lelaki berusia 19 tahun itu ditahan sepasukan anggota Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam ketika Op Kontraban.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, suspek juga menjadikan premis berkenaan sebagai tempat menyimpan dan menjual rokok tidak bercukai.

"Sebanyak 53 karton rokok seludup pelbagai jenama yang tidak mempunyai cukai kastam dirampas serta wang tunai berjumlah RM540 dan satu unit telefon bimbit.

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah RM14,006.20," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek disyaki terbabit dalam kegiatan mengedar rokok ke kedai-kedai runcit yang tidak berlesen di sekitar kawasan Parit Sulong.

"Suspek ditahan dan semua barang salah itu dirampas di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

"Tangkapan dan rampasan seterusnya diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 11:16 AM