PANTAI Cermin Port Dickson
PANTAI Cermin Port Dickson
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengesahkan tiada kejadian tumpahan atau pencemaran minyak berlaku di Pantai Cermin Port Dickson seperti dilaporkan sebuah akhbar.

Jabatan itu dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya sudah menghantar satu pasukan untuk menjalankan siasatan di lokasi berkenaan, semalam.

"Berdasarkan carian di sistem geospas dan googlemap, lokasi kejadian membabitkan sempadan Negeri Sembilan dan Melaka.

"Setelah tiba di lokasi, pasukan penyiasat memeriksa keadaan air laut di sepanjang Pantai Cermin dan pemerhatian secara fizikal mendapati tiada kesan tumpahan minyak di sepanjang pantai berkenaan.

"Terdapat kesan habuk kayu bakau di beberapa bahagian sekitar Pantai Cermin. Pasukan penyiasat turut melakukan tinjauan secara fizikal di kawasan paya bakau dan hanya kesan habuk kayu bakau ditemui di kawasan itu, tiada kesan tumpahan atau tompokan minyak ditemui," kata dalam kenyataan hari ini.

JAS berkata, pasukan penyiasat turut melakukan pemantauan fizikal keadaan air di sepanjang pantai dan juga di kawasan paya bakau serta di sekitar Pantai Cermin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 10:06 AM