NORLIN (kanan) ketika mengadakan lawatan melihat kesan tumpahan minyak di Pantai Cermin, Port Dickson dan Tanjung Tuan. FOTO Mohd Khidir Zakaria
NORLIN (kanan) ketika mengadakan lawatan melihat kesan tumpahan minyak di Pantai Cermin, Port Dickson dan Tanjung Tuan. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan sudah mengambil 12 sampel minyak daripada empat kapal yang berlabuh di Kuala Linggi untuk siasatan insiden tumpahan minyak yang mencemarkan Pantai Cermin, Batu 10, dekat sini, Isnin lalu.

Ketua Pengarahnya, Norlin Jaafar berkata, sampel yang diambil dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut itu di hantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut.

"Sebanyak 12 sampel minyak sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis dan mencari bukti berikutan insiden tumpahan minyak.

"Kami juga menggunakan data satelit untuk mengesan mana-mana kapal yang melalui laluan pada tarikh yang disyaki dalam usaha melengkapkan siasatan kami.

"Kami akan mencari bukti dan pelaku serta mereka yang terbabit dan kami sedang menunggu keputusan sampel dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui ketika melawat tempat kejadian di Pantai Cermin hari ini.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang melepaskan minyak dengan sengaja atau tidak sengaja.

Tambahnya, tindakan mereka (pelaku) adalah tidak bertanggungjawab kerana menjejaskan sistem ekosistem hidupan laut secara keseluruhan.

Norlin berkata, 80 peratus kerja-kerja pembersihan pantai sudah dilaksanakan yang memasuki hari kelima hari ini dengan pembabitan anggaran 250 anggota agensi awam dan swasta membabitkan dari Melaka dan Negeri Sembilan.

"Kalau kita lihat Pantai Cermin ini masih ada saki baki minyak yang datang dari tengah laut dan terkini kami menggunakan 'absorbent boom' manakala di Tanjung Tuan pula 80 peratus tugasan sudah selesai yang terdapat dikawasan paya bakau.

"Untuk memastikan tiada lagi tumpahan minyak kami melalui APMM membuat pemantauan di kawasan perairan berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 8:08 PM