GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Ismail


Segamat: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperincikan prosedur operasi standard (SOP) khas perjalanan ulang alik harian ke Singapura bagi rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata perkara itu dijangka dimuktamadkan minggu depan selepas penelitian beberapa aspek termasuk perbincangan dengan pihak berkuasa negara berkenaan.

"Untuk mereka yang berulang alik ini, jika kita syaratkan mereka kena buat ujian Covid-19 setiap kali (rentas sempadan), ia tidak praktikal.

"Jadi kita sedang memuktamadkan formula, mungkin ujian itu dibuat sekali seminggu sahaja dan mereka kena tunjuk bukti bahawa ujian yang dilakukan itu adalah dalam tempoh seminggu.

"Saya harap pada minggu hadapan, Insya-Allah SOP ini dapat kita muktamadkan," katanya ketika ditemui selepas menyantuni penduduk di Kampung Tengah, di sini bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Anuar Manap.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, perbincangan SOP ulang alik turut membabitkan negara jiran lain iaitu Thailand dan Brunei.

"(Perkara) ini masih dalam perbincangan saya dan rakan sejawatan saya di Singapura, Thailand dan juga Brunei.

"Sebab Sempadan darat ini membabitkan mereka yang berulang alik setiap hari untuk tujuan kerja yang mana mereka perlu satu SOP khas yang sedikit berbeza daripada pengembara biasa," tambahnya.

Selasa lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pintu sempadan negara dibuka bermula 1 April ini.

Dalam pengumumannya, beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan tiga perkara asas iaitu panduan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 2:50 PM