Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi


PINTU kawalan sempadan negara hanya dapat dibuka sekiranya fasa pemulihan Covid-19 selepas pembukaan beberapa sektor dalam negara berada dalam keadaan terkawal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mempunyai tempoh sehingga 31 Ogos melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk melakukan pemantauan dan kawalan selepas pembukaan beberapa sektor dalam negara.

"Melalui PKPP, kita buka sektor ekonomi, sosial, pelajaran terlebih dulu, jika penularan boleh dikawal dalam negara maka kita akan pertimbangkan kelonggaran sempadan antarabangsa.

"Kita kena lihat konsep green bubble iaitu jika negara terbabit mempunyai rekod baik dan berada dalam keadaan zon hijau kita akan pertimbangkan, bagaimanapun kita perlu lihat prosedur operasi standard (SOP) antara dua negara terlebih dulu," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, jika sesetengah negara asing bersetuju dengan SOP berkenaan contohnya ujian saringan perlu diambil di negara asal atau sebaliknya, mungkin pintu kawalan sempadan boleh dibuka sepenuhnya.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

"Kita kena lihat dan duduk bersama terlebih dulu untuk mengetengahkan konsep green bubble ini contohnya macam merentas negeri, ia juga sama dengan merentas negara tetapi membabitkan dua negara terpilih saja.

"Kalau ada kriteria pelaksanaan SOP melalui persetujuan dua negara boleh dicapai mungkin kita boleh laksanakan (membuka kawalan sempadan), tetapi bergantung kepada perbincangan," katanya.

Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai tempoh bermula 10 Jun hingga 31 Ogos depan untuk melakukan pengawalan dan pemerhatian bagi mengelak risiko gelombang baru terutama selepas kebenaran merentas negeri.

"Kita sedia maklum banyak sektor akan dibuka secara berperingkat dan akan membuat pemantauan berdasarkan lokaliti dan kumpulan sasar terbabit.

"Contoh pekerja warga asing yang sudah diambil tindakan dan saringan bagi membendung penularan dalam kalangan mereka.

"Jika di peringkat awal pada Januari lalu kita hanya dapat melakukan ujian saringan 1,000 kes saja, sekarang ini kemampuan kita mencapai 35,000 ujian sehari," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 6:52 PM