GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) menggariskan tujuh ketetapan dan perincian bagi menangani isu beg berat dialami murid sekolah secara menyeluruh.

Ia membabitkan penyediaan lokar di sekolah rendah, penyusunan semula jadual waktu, bilangan buku latihan, penggunaan buku aktiviti dan kerja, pengenalan buku teks digital, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia dibuat berdasarkan penelitian ke atas maklum balas diperoleh yang mendapati isu beg berat adalah kritikal dalam kalangan murid khususnya Tahap 1, iaitu Tahun 1, 2 dan 3.

Sehubungan itu, katanya, KPM akan menyediakan lokar di sekolah rendah secara berfasa dengan Fasa 1 akan membabitkan penyediaan bagi murid Tahap 1 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.

Beliau berkata, pelaksanaan itu akan membabitkan 10,662 kelas dengan 323,186 murid, dan anggaran peruntukan bagi Fasa 1 adalah sebanyak RM37.3 juta.

"Bagi fasa 2, penyediaan lokar akan diperluas kepada murid Tahap 2, iaitu Tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi yang dijangka pada 2023.

"Bagi sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di kelas masing-masing.

"Ini adalah pendekatan baharu yang buat pertama kalinya KPM menyediakan lokar kepada murid di sekolah," katanya menerusi mesej video dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Mengenai pendekatan kedua, Radzi berkata, KPM akan melaksanakan jadual waktu yang mengehadkan jumlah mata pelajaran diajar di sekolah kepada tiga atau empat subjek sehari.

Melalui konteks berkenaan, katanya, pihak sekolah perlu mengambil kira pelaksanaannya dengan melihat aspek pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan, selain sekolah akan diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu.

"Ia berdasarkan jadual waktu mengikut kitaran minggu. Hanya subjek tertentu akan diajar dalam satu-satu minggu itu. Ini bagi membolehkan jumlah buku teks atau aktiviti yang dibawa ke sekolah dapat dikurangkan.

"Pendekatan ketiga adalah berkaitan buku latihan, apabila kami turun ke sekolah kami dapati ramai murid membawa lebih daripada dua buku latihan untuk sesuatu subjek. Ini secara tak langsung menambah berat kepada beg mereka.

"Justeru, kita menetapkan bilangan buku latihan untuk sesuatu subjek tidak melebihi 2 buku pada satu-satu masa dan setiap buku latihan ini tidak boleh melebihi 80 halaman," katanya.

Radzi berkata, pendekatan keempat membabitkan buku aktiviti dan kerja dengan murid hanya dibenarkan untuk menggunakan buku aktiviti disediakan KPM.

Beliau berkata, buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau ulang kaji di luar waktu PdP di sekolah, selepas pihaknya mendapati ramai murid membawa pelbagai buku berkenaan yang secara tidak langsung menambah kepada berat beg mereka.

"Pendekatan kelima adalah berkaitan buku teks digital dan KPM menumpukan penerbitan baharu buku teks dalam format digital yang dilaksanakan secara berterusan.

"Sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMA).

"Murid yang mempunyai peranti boleh mengakses buku teks digital bagi memudahkan pembelajaran mereka," katanya.

Memperincikan pendekatan keenam, beliau berkata, ia berkaitan pelaksanaan PdP di sekolah dengan guru digalakkan mengguna pendekatan PdP berpusatkan murid, iaitu pembelajaran bertema, modular, berasaskan projek, simulasi amali atau terbeza.

Pendekatan pembelajaran itu, katanya, dapat mengurangkan kebergantungan kepada buku teks semata-mata dalam PdP, selain mampu meningkatkan keberkesanan dan mewujudkan persekitaran PdP lebih menyeronokkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 5:29 PM