GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


GURU yang melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi murid di rumah perlu mempelbagaikan kaedah penyampaian mengikut kreativiti masing-masing berdasarkan kesesuaian setempat.

Melalui Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini turut menetapkan guru bertanggungjawab perlu menggunakan kaedah PdP yang bersesuaian seperti pembelajaran dalam talian, televisyen pendidikan, radio atau media sosial bagi murid yang bersedia untuk mengikuti kaedah pembelajaran berkenaan.

Selain itu, guru perlu mengambil kira capaian Internet, pemilikan serta keupayaan penggunaan alat peranti dan kesediaan murid untuk melaksanakan PdP secara dalam talian.

Guru perlu memberi latihan dalam buku teks, buku kerja atau disediakan sendiri oleh guru bagi murid yang tidak mempunyai akses Internet;

Malah, guru perlu melaksanakan Pembelajaran Berasaskan Projek dengan menggunakan sumber yang mudah didapati oleh murid sekiranya bersesuaian.

Menggunakan kaedah serahan bahan PdP di sekolah dengan memasukkan bahan ke dalam kotak serahan yang diletakkan di pondok keselamatan untuk penyerahan dan pengambilan bahan oleh guru dan ibu bapa dan penjaga mengikut jadual yang ditetapkan.

Guru juga perlu melaksanakan pentaksiran bilik darjah berdasarkan hasil kerja murid seperti latihan, kuiz dan lain-lain yang boleh dikemukakan secara dalam talian atau serahan tangan dan melaksanakan pentaksiran bilik darjah apabila sesi persekolahan bermula bagi murid yang tidak dapat menyerahkan tugasan mereka secara dalam talian atau serahan tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 12:18 AM