SYED Hamid Albar. FOTO Arkib NSTP
SYED Hamid Albar. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "Saya tak pernah minta pinjam wang daripada sesiapa, tiba-tiba pagi ini ramai yang hubungi bertanyakan keadaan saya.

"Saya ingin jelaskan, saya tidak pernah meminta pinjam duit, saya harap tidak ada yang terpedaya," kata bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar.

Menurutnya, pagi tadi, beliau menerima berpuluh-puluh panggilan daripada rakan yang bertanyakan kesahihan mesej menerusi WhatsApp kononnya dia ingin meminjam wang.

Katanya, dia tidak pernah meminta wang daripada sesiapa malah nombor yang digunakan itu juga bukan miliknya.

"Malangnya saya dimaklumkan ada rakan yang ingat itu adalah saya dan mereka beri duit menerusi nombor akaun yang dikongsikan.

"Saya juga sudah maklumkan kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan susulan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu tular di media sosial mengenai bekas anggota kabinet itu menghantar mesej kepada kenalannya memohon untuk meminjam wang berjumlah RM3,000.

Ia dikatakan dikirimkan kepada semua kenalan yang di dalam telefonnya sejak tiga hari lalu.

ANTARA mesej dari scammer kononnya Syed Hamid ingin meminjam wang.
ANTARA mesej dari scammer kononnya Syed Hamid ingin meminjam wang.

Syed Hamid berkata, dia berharap orang ramai khususnya rakan politik atau saudara-mara tidak tertipu dengan taktik yang digunakan scammer itu.

Antara yang menerima mesej kononnya dari beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram Shaid Rosli.

Shaid berkata, sebaik menerima kiriman WhatsApp itu, dia mengetahui ia bukanlah daripada Syed Hamid kerana mempunyai nombor telefon ahli politik veteran itu.

"Saya pun terkejut bila terima mesej itu. Tetapi isu seperti ini sudah pun tular sebelum ini.

"Saya ada nombor telefon Tan Sri dan nombor yang digunakan ini nombor yang lain, hanya gambar Tan Sri saja," katanya yang turut berkongsi perkara itu di Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 3:50 PM