Mubarak Majid.
Mubarak Majid.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Saya minta maaf pada semua yang terpedaya dengan mesej kononnya saya nak pinjam duit. Saya belum sampai tahap itu lagi."

Itu kata pelakon veteran Mubarak Majid yang menjadi mangsa 'scammer' apabila aplikasi WhatsApp di telefonnya digodam individu tidak bertanggungjawab, semalam.

Mubarak ketika dihubungi berkata, dia menyedari perkara itu apabila ramai rakan pelakon menghubunginya dan bertanya adakah betul dia mahu meminjam wang.

Menurut Mubarak, lebih 10 rakannya sudah terpedaya dengan membuat pemindahan wang seperti diminta 'scammer' itu menerusi mesej dihantar.

"Saya sedar perkara ini tengah hari semalam apabila ada kawan-kawan mesej saya tanya betulkah nak pakai duit.

"Ada yang layan 'scammer' itu dengan terus masukkan duit dalam akaun 'scammer' terbabit. Selepas itu baru tanya saya semula. Saya cakap kenapa tak periksa dulu. Namun, mungkin sebab mereka fikir kawan, jadi itu yang masukkan duit terus.

"Apabila ini terjadi, saya pun tak tahu nak buat apa. Kalau nak ganti semula pada mereka, tak tahu nak bayar macam mana. Kalaulah betul saya nak pinjam, lebih baik saya menghubungi atau jumpa terus. Bukan dengan cara nak mesej," katanya kepada Harian Metro.

Susulan kejadian itu, Mubarak yang juga pelakon drama Cukup Derita Itu di TV3 sudah membuat laporan di dua balai polis berasingan iaitu Balai Polis Setapak dan Sri Gombak, di sini, semalam.

"Setakat hari ini masih belum ada apa-apa perkembangan daripada pihak polis. Cuma, hari ini pun masih ramai terima mesej sama. Ebby Yus pun ada menghubungi saya tadi selepas mendapat mesej serupa.

"Saya nak pesan pada semua yang mendapat mesej nak pinjam duit daripada saya, itu semua tipu. Ia kerja 'scammer'. Tolong jangan percaya. Buat masa sekarang saya masih pakai nombor sama tapi untuk tujuan panggilan saja," katanya.

Menurut Mubarak, perkara itu berpunca daripada tindakannya memberikan nombor kod OTP pada individu yang juga kenalan di Facebook (FB).

"Ada kenalan di FB memaklumkan dia nak betulkan tetapan di FB saya. Dia minta saya berikan nombor pin yang saya terima di mesej. Apabila dapat nombor itu, saya terus beri kepadanya.

"Dalam sedar tak sedar tu, saya bagi juga. Rupa-rupanya dia menyamar dan terus godam WhatsApp saya. Selepas itu, dia pun terus hilang dari FB.

"Petunjuk lain yang ada pun adalah berdasarkan nama, nombor telefon dan nombor akaun yang diberikan kepada beberapa mangsa yang sudah buat pemindahan wang," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi hampir menjadi mangsa 'scammer' yang menyamar menggunakan nombor telefon Mubarak itu.

Zed berkata, dia menerima mesej WhatsApp daripada 'scammer' terbabit yang mahu meminjam wang sebanyak RM2,000, pagi hari ini.

"Mati mati saya ingat Abang Mubarak yang nak minta tolong. Rupa-rupanya pagi ini sudah kena 'scam' dengan scammer."

Zed berkata, 'scammer' itu memeriksa semua data nombor telefon individu yang disimpan dalam telefon Mubarak sebelum menghantar mesej untuk meminjam wang.

"Aplikasi WhatsApp abang Mubarak kena godam. 'Scammer' ini menyamar sebagai abang Mubarak kononnya. Dia periksa semua data yang ada terutama sekali nombor yang disimpan dalam WhatsApp termasuk dalam kumpulan. 'Scammer' ini mesej setiap seorang minta pinjam duit kononnya abang Mubarak yang minta walhal bukan dia. Jadi yang terkena itu minta buat laporan polis.

"Selain itu, kalau 'scammer' tak mesej melalui WhatsApp pinjam duit, dia akan minta kod OTP WhatsApp yang akan dihantar melalui mesej pesanan ringkas (SMS). Jadi, tolong jangan bagi kod tu.

"Modus operandi kedua 'scammer' dia akan muat turun perniagaan WhatsApp baru dan dia akan daftar guna nama anda melalui nombor telefon. WhatsApp yang 'scammer' daftar baru tadi itu kod akan dihantar ke nombor anda melalui SMS dan bila bagi saja kod tu pada 'scammer', terus automatik dia dapat godam WhatsApp anda dengan sekelip mata," katanya.

Zed berkata, dia mulai mencurigai itu sebagai Mubarak apabila tidak menjawab mengenai drama lakonan mereka.

"Scammer yang menyamar abang Mubarak itu mesej nak minta izin buat kumpulan WhatsApp untuk info Covid-19. Saya kata okaylah. Tapi, saya terus berasa pelik sebab dia minta kod OTP mesej. Saya cakap kumpulan WhatsApp tak perlu OTP. Lepas tu saya tanya nama drama lakonan kami dia tak jawab. Dari situ dia kantoi," katanya.

Dalam masa sama, Zed berharap pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat memantau sekali gus membanteras aktiviti scammer ini.

"Mana lebih penting berita palsu atau scammer yang memberikan kerugian berjuta-juta ringgit pada masyarakat yang sedang dalam derita ini.

"Scammer ini memang menyusahkan hidup orang saja hingga penguat kuasa pun tak boleh selesaikan masalah ini. Semoga semua kawan-kawan dan rakyat Malaysia sentiasa berhati hati. Sasaran mereka selalunya orang tua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 3:53 PM