ZULKIFLI, membuat laporan di Balai Polis Senawang selepas nama dan gambarnya digunakan individu lain untuk menipu. FOTO ihsan PEMBACA
ZULKIFLI, membuat laporan di Balai Polis Senawang selepas nama dan gambarnya digunakan individu lain untuk menipu. FOTO ihsan PEMBACA
Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang lelaki digelar 'ustaz' terkejut apabila rakannya memaklumkan seorang individu menjaja nama dan gambarnya melalui aplikasi WhatsApp untuk meminjam wang.

Individu terbabit dikatakan berusaha meminjam lebih RM5,000 dan mendakwa berjanji akan membayarnya semula secepat mungkin.

Zulkifli Muhamed, 54, berkata, ketika kejadian, dia berada di sebuah masjid di Senawang sebelum rakannya memaklumkan dihubunginya menggunakan nombor telefon lain.

"Rakan memaklumkan, individu terbabit menggunakan nama dan gambar profil aplikasi WhatsApp saya untuk meminjam RM3,950.

"Malah, dua rakan lain turut memaklumkan perkara sama sedangkan saya masih menggunakan nombor telefon sama dan tidak pernah menghubungi mereka untuk meminjam wang," katanya hari ini.

Zulkifli berkata, dia yakin individu terbabit menjaja namanya kerana mungkin ketiga-tiga rakannya itu akan terpengaruh untuk meminjamkan wang.

"Saya kemudiannya memaklumkan perkara itu dalam kumpulan aplikasi WhatsApp dan meminta semua supaya berhati-hati jika menerima mesej sama.

"Saya kemudiannya melaporkan perkara ini di Balai Polis Senawang, jam 11.45 pagi tadi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim mengesahkan menerima laporan berkenaan.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 1:06 PM