GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
minda

Minggu lalu, kecoh dalam kumpulan WhatsApp rakan pejabat mengenai aplikasi Telegram seorang bekas rakan setugas yang ditakluk scammer.

Ramai yang menerima mesej kononnya rakan itu yang dikenali sebagai DJ (bukan nama sebenar) mahu meminjam wang daripada kami.

Macam biasa, ayat pertama adalah memberi salam dan kemudian bertanya khabar, walaupun sebenarnya ada yang sudah beberapa tahun tidak berhubung dengan DJ.

Selepas itu, barulah scammer memulakan ayatnya mahu meminta tolong, nak pinjam duit, misalnya berjumlah RM3,000 kerana ada hal dan esok paginya akan pulangkan semula.

"Tolonglah, transfer sekarang ya...bagi resit bila dah transfer," lalu scammer menyertakan nama dan nombor akaun bank milik entah siapa.

Berdasarkan dialek digunakan, sudah dapat diagak scammer itu dari seberang dan cara penulisannya sudah pasti tidak sama dengan DJ yang kami kenali.

Lalu, bermacam-macam jawapan yang kami berikan untuk mengelirukannya kerana kami tahu dia bukan DJ sebenar. Ada yang bertanya mengenai jualan kerepek diusahakan sedangkan DJ bukanlah penjual kudapan itu.

Ada yang memberi resit yang diubah suai kononnya pindahan wang sudah dilakukan, tetapi jumlahnya kosong.

Saya pula meminta maaf kepada 'DJ' dan menyatakan tiada wang lagi kerana pada hari itu sudah memberi pinjaman wang kepada 20 orang lain dan dia adalah orang ke-21 yang mahu meminjam wang.

Lalu saya kemudian menghubungi DJ sebenar dan bertanya apa yang berlaku. Katanya, memang betul Telegramnya sudah diambil alih scammer dan dia cukup sedih serta tertekan dengan keadaan itu.

Kata DJ: "Scammer ini sama ada dia minta pinjam duit atau minta kita screenshot Telegram kita. Saya ingatkan member saya hantar, tapi rupanya si scammer tu guna akaun member saya.

Ayat pancing dia...'Saya nak sahkan betul ke ni akaun Telegram saya sebab hampir nak kena hack tadi.' Saya tengah sibuk buat benda lain, saya pun screenshot la. Jadi, scammer tu masuk Telegram saya di tempat dia.

"Scammer itu akan beri contoh screenshot yang dimahukannya dan ada kod login Telegram di situ. Selepas beberapa minit, saya baru tersedar dan menghubungi kawan saya itu dan memang sah, akaun Telegram saya kena hack," kata DJ.

Begitulah kisahnya, niat asal mahu 'membantu kawan' yang kononnya akaun Telegram hampir kena hack, namun akhirnya DJ menjadi mangsa apabila namanya dijaja dan mesej kononnya dia mahu meminjam wang dihantar kepada semua kenalan yang ada di dalam akaun Telegramnya.

Difahamkan, selepas 24 jam menakluk sesuatu akaun Telegram atau WhatsApp, barulah scammer terbabit menghantar mesej sama secara berkelompok.

Taktiknya sama seperti memancing, kalau 200 joran dipasang, takkan satu pun tidak sangkut ikan. Kalau 200 dihantar mesej, takkan tiada seorang pun yang bersimpati dan mahu meminjamkan wang.

DJ pada mulanya memadamkan aplikasi itu dan kemudian memasangnya (install) semula. Namun, dia perlu menunggu 24 jam sebelum mendapat kod dan boleh memasuki akaun Telegramnya semula.

Jelas, kejadian akaun Telegram atau WhatsApp ditakluk scammer serta mesej mahu meminjam wang disebarkan ini bukan hanya membabitkan orang biasa, malah dalam kalangan orang kenamaan pun turut jadi mangsa.

Mungkin ada yang bosan apabila saya terus menulis mengenai taktik scammer kerana topik ini sudah biasa.

Tapi, ia masih berlaku dan pelbagai cara digunakan, jika tidak dengan menghantar mesej menerusi WhatsApp atau Telegram yang ditakluk, mereka akan menghubungi menggunakan mesin suara atau dikenali talian sistem telefon suara melalui protokol internet (VoIP).

Jika dulu, nombor telefon pemanggil agak pelik dan boleh diagak, kini mereka menggunakan nombor telefon bimbit syarikat telco tempatan.

Malah, hampir setiap hari saya menerima panggilan daripada nombor telefon tidak dikenali. Kalau tidak sempat jawab dan saya hubungi semula, nombor itu tiada dalam perkhidmatan.

Kalau sempat jawab, ucapan helo, helo saya biasanya disambut dengan mesin suara atau VoIP itu. Tapi, mungkin kerana saya cepat marah dan sudah tahu siapa pemanggil, panggilan biasanya terputus lebih awal.

Kalau boleh, sudah tentu scammer itu amat gembira apabila kita menjawab telefon dalam keadaan tidak bersedia, misalnya sedang makan.

Ini kerana dalam keadaan mangsa tidak bersedia, sudah pasti mudah timbul rasa panik apabila mendapat panggilan berbentuk amaran atau ugutan.

Kalau panggilan kononnya daripada mahkamah atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dianggap taktik lapuk, baru-baru ini saya menerima panggilan daripada mesin suara menyatakan nombor telefon Telekom Malaysia (TM) saya akan dipotong.

Apabila panggilan disambung kepada 'pegawai' lelaki itu mengucapkan salam dan saya terus mengherdiknya kerana gunakan salam untuk menipu.

Tetapi, 'pegawai' itu menjawab: "Marah sangat ke? Kau pakai nombor Telekom ke? Kalau tak pakai, buat apa telefon ke sini," bentaknya sambil memutuskan talian. Saya pula dimarahnya!

Ketika singgah di Masjid Buluh di Gua Musang ketika dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu, setahun lalu, saya ternampak keratan akhbar di papan kenyataan.

Ia berita pendedahan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob bertajuk Sekolah Khas Latih Pakar Tipu yang disiarkan akhbar ini.

Beliau mengarahkan keratan berita itu ditampal di semua masjid dan rumah ibadah di seluruh negara agar orang awam baca dan tahu.

Jadi, pada ketika penyangak terus berusaha menipu mangsa dengan pelbagai cara, saya mengambil tanggungjawab berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran supaya sedikit ilmumenjadi pendinding kepada sebuah kekesalan.

Penulis Pengarang Berita, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 7:00 AM