IDRIS (kanan)  melepaskan konvoi Misi Bantuan Banjir Skuad Musa'adah Keluarga Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)  di perkarangan Kompleks Islam Putrajaya, hari ini. FOTO Samadi Ahmad.
IDRIS (kanan) melepaskan konvoi Misi Bantuan Banjir Skuad Musa'adah Keluarga Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di perkarangan Kompleks Islam Putrajaya, hari ini. FOTO Samadi Ahmad.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) memperuntukkan RM3.7 juta bagi membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu melalui peruntukkan khas membabitkan agensi di bawa jabatan itu.

Menterinya, Datuk Idris Ahmad berkata, bantuan itu membabitkan barangan keperluan harian, kit solat, selimut, al-Quran dan wang tunai.

Menurutnya, bantuan ini sudah digerakkan sejak minggu lalu melalui Skuad Musa'adah Keluarga Malaysia membabitkan kawasan Kuala Krai dan Pasir Mas, di Kelantan.

Katanya, bagi Terengganu seramai 40 ahli skuad digerakkan bermula hari ini bagi membantu mangsa banjir di Kemaman dan Hulu Terengganu.

"Saya akan pastikan peruntukan ini sampai kepada semua penerima yang terjejas banjir tanpa mengira kaum, agama dan bangsa," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelepasan Misi Bantuan Banjir Skuad Musa'adah Keluarga Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di perkarangan Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hakimah Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Sebanyak 10 kenderaan terbabit dalam misi ini membabitkan pelbagai agensi di bawah JPM (Hal Ehwal Agama).

Idris berkata, peruntukan khas ini membabitkan sumbangan daripada beberapa agensi seperti Jakim (RM310,000), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) (RM165, 350): Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) (RM2.6 juta): Tabung Haji (TH) (RM300,000; Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)(RM51,000) dan Yayasan Taqwa (RM350, 000).

Katanya, sumbangan korporat berjumlah RM18,000 berupa barangan keperluan turut diterima dari Celcom Sdn Bhd.

"Saya sentiasa mengalu-alukan sumbangan dari pihak korporat ke dalam Tabung Musa'adah Covid-19 Jakim-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi membantu golongan yang dilanda musibah, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 10:40 AM