Isman Nadim Isam
Isman Nadim Isam
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia) menasihatkan kumpulan nasyid generasi baru supaya menampilkan imej yang bersesuaian dan mencerminkan nasyid. 

Penasihatnya, Isman Hijjaz berkata, itu akan menjadi satu lagi daya penarik di samping karya berkualiti. 

"Ada beberapa kumpulan yang dirasakan sangat bagus sekiranya ditonjolkan lagi. Itu dari segi kualiti lagu dan muzik. 

"Tapi, dari sudut penampilan mereka, saya nak komen sedikit. Mereka dah tak nampak nasyid sangat. Itu yang tak seronok. Kalau boleh, ciptalah sedikit penampilan yang menampakkan identiti nasyid walaupun tak pakai songkok atau apa," katanya. 

Menurut Isman, dengan adanya imej yang bersesuaian, itu akan menarik minat pendengar di samping akan lebih dihargai sebagai penyanyi nasyid. 

"Bila kita dah gelarkan diri kita sebagai penyanyi nasyid, buatlah macam nasyid. Saya nasihat begitulah. 

"Saya takut, kalau mereka keluar dan muncul di acara persembahan, orang akan tertanya mengenai identiti muzik mereka kerana tak nampak seperti penyanyi nasyid. 

"Tak salah kalau kita tampilkan imej nasyid dan kita akan lebih dihargai. Lagu berentak pop pun tak apa. 

"Kalau dah ada imej, barulah orang nampak dan pandang. Kalau orang tertanya-tanya lagi (identiti), kamu memang dah lambat," katanya. 

Katanya, berkemungkinan besar kumpulan nasyid generasi baharu ini segan untuk tampil dengan imej nasyid. 

"Kita boleh lihat Rabbani, Raihan, Hijjaz, Inteam, Mestica dan lain-lain, ada imej masing-masing. Kita tak malu pun. 

"Tapi, yang bawah-bawah (generasi baharu) ini, mereka macam segan nak tonjolkan imej nasyid. Tapi, lagu ketuhanan. Seolah-olah segan sangat. Macam kami, tetap dengan kopiah Hijjaz," katanya. 

Isman tidak menjelaskan secara spesifik imej yang menggambarkan sebagai penyanyi nasyid, namun ia satu identiti yang apabila dilihat, terus dapat menggambarkan bahawa itu adalah penyanyi nasyid. 

"Pernah berlaku, saya sendiri ada persembahan di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Ada yang menegur saya dan maklumkan yang mereka akan turut membuat persembahan.

"Saya tanya, mereka dari kumpulan mana dan mereka cakap, mereka kumpulan nasyid. Saya sendiri pun kehairanan sebab tak nampak macam kumpulan nasyid. 

"Jadi, kalau saya pun tak dapat nampak, tambah-tambah lagi orang lain," katanya. 

Kumpulan nasyid generasi terdahulu seperti Raihan, Rabbani dan Hijjaz memiliki identiti imej mereka sendiri antaranya, kopiah yang dipakai oleh anggota Hijjaz masih lagi kekal dalam ingatan peminat mereka. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 1:57 PM