SamadiAhmad

Putrajaya: Majlis Raja-raja Melayu akan memutuskan status sebenar berhubung seorang pemilik akaun Facebook yang didakwa terbabit dengan ajaran sesat, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, perkara itu sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-118 pada minggu lalu.

Katanya, keputusan muzakarah itu sudah diserahkan kepada Majlis Raja-raja Melayu dan menunggu keputusan untuk diumumkan.

"Setakat ini saya tidak boleh mendedahkan keputusan muzakarah itu dan kita tunggu keputusan Majlis Raja-raja Melayu," katanya kepada media selepas majlis penyerahan sumbangan Tabung Musa'adah Covid-19 Jakim-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan pelepasan konvoi Program Musa'adah Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir Jakim-YWM ke Pasir Mas, Kelantan di Kompleks Islam Jakim, di sini, hari ini.

Pelepasan konvoi disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Turut hadir, Pengarah Kanan, Institut Latihan Islam Malaysia, yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Dr Nordin Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Hakimah Mohd Yusof.

DR Zulkifli  melepaskan Konvoi Program Musa’adah Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir Jakim-YWM ke Pasir Mas. FOTO Luqman Hakim Zubir.
DR Zulkifli melepaskan Konvoi Program Musa’adah Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir Jakim-YWM ke Pasir Mas. FOTO Luqman Hakim Zubir.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita yang didakwa terbabit dengan ajaran sesat, sudah hadir ke pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Bangunan Sultan Idris Shah, di Shah Alam, bagi memberi keterangan.

Sementara itu, Program Musa'adah Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir Jakim-YWM ke Pasir Mas, Kelantan membabitkan bantuan berjumlah RM60,000 berupa barangan seperti dapur gas, kelengkapan tidur seperti tilam bantal dan gebar, keperluan wanita dan kanak-kanak serta barangan kering.

Abdul Aziz berkata, turut menyumbang dalam misi ini adalah Masjid Negara Kuala Lumpur sebanyak RM10,000; syarikat Ajinomoto (Malaysia) Berhad menyumbang pek makanan berjumlah RM4,250 serta sumbangan ke Tabung Musa'adah Covid-19 berjumlah RM5,000.

Katanya, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad turut menyumbang sebanyak RM100,000 untuk disalurkan kepada sekolah tahfiz, rumah anak yatim dan rumah-rumah perlindungan orang bukan Islam terpilih.

"Jakim turut mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Kebajikan Warga Islam (PEKWI) Hospital Putrajaya untuk disampaikan kepada petugas barisan hadapan di hospital itu berjumlah RM10,000.

"Turut menerima bantuan seramai 200 guru KAFA Kelantan yang terkesan Covid-19 menerima bantuan sebanyak RM300 setiap seorang termasuk sumbangan pasca banjir kampung Orang Asli di Pahang, Kelantan, Perak dan Johor berjumlah RM129,700," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 10:55 AM