SKUAD Musa’adah Keluarga Malaysia Agensi Agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyantuni mangsa banjir di PPS SRA Dato Ahmad Razali, Dengkil. FOTO Jakim
SKUAD Musa’adah Keluarga Malaysia Agensi Agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyantuni mangsa banjir di PPS SRA Dato Ahmad Razali, Dengkil. FOTO Jakim
Samadi Ahmad

Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menggerakkan Skuad Musa'adah Keluarga Malaysia Agensi Agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi membantu mangsa yang terjejas banjir.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata, skuad ini dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad semalam.

Menurutnya, skuad ini disertai 14 agensi agama di bawah seliaan menteri yang akan turun padang pada setiap hari ke pusat pemindahan sementara (PPS) khususnya di Lembah Klang bagi menghulurkan bantuan.

Katanya, antara bantuan yang disampaikan seperti makanan sudah dimasak, makanan segera, keperluan asas peribadi, kit ibadah dan lain-lain.

"Skuad ini juga diarahkan untuk membuat persiapan pascabanjir bagi membantu pembersihan di kawasan banjir khususnya membabitkan kemudahan awam seperti masjid, surau dan dewan orang ramai."

"Pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah seliaan agensi-agensi agama juga akan digerakkan bagi menjayakan misi ini."

"Semua pihak dialu-alukan untuk turut sama menyumbang khususnya wang tunai untuk digunakan bagi tujuan membantu kumpulan sasar," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Orang ramai boleh menyalurkan bantuan melalui Tabung Musaadah Covid-19 Jakim-Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) ke akaun CIMB8602218186.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 9:49 AM