Hakimah (kanan) melancarkan Pelepasan Skuad Musa'adah Keluarga Malaysia Agensi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)  bersama MAPIM di sini hari ini. FOTO Samadi Ahmad
Hakimah (kanan) melancarkan Pelepasan Skuad Musa'adah Keluarga Malaysia Agensi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama MAPIM di sini hari ini. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Empat masjid bernilai RM1 juta yang dibina semula oleh pihak berkuasa Malaysia di Palu, Indonesia akan dirasmikan tidak lama lagi.

Masjid itu musnah dalam tragedi tsunami dan gempa bumi pada 2018.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, Jakim sebagai agensi pusat bersama-sama agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berjaya membuat kutipan sumbangan RM1 juta bagi pembinaan masjid ini.

Menurutnya, masjid ini siap sepenuhnya pada 20 September lalu dan turut mendapat sumbangan Tabung Musa'adah Jakim- Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).

Katanya, Jakim bersetuju melantik Majlis Perundangan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sebagai rakan strategik bagi menggerakkan usaha ini dapat direalisasikan.

"Jakim merakamkan ucapan terima kasih kepada agensi di bawah Hal Ehwal Agama yang memberi komitmen dalam menjayakan misi ini," katanya pada sidang media Majlis Pelepasan Misi Bantuan Skuad Musa'adah Keluarga Malaysia Agensi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ke Palu, Indonesia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Ruslan Said dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby.

Pasukan ini akan berlepas

ke Palu, Indonesia esok sehingga 11 Oktober bagi merasmikan empat masjid itu diketuai, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Ruslan Said.

Empat masjid yang siap dibina itu terdiri dari Masjid Al-Muhajirin di Tondo, Masjid Babul Khairat dan Masjid Ar- Rahman di Balaroa dan Masjid Nur Yahya di Bayaoge.

Hakimah berkata, dengan pembinaan masjid ini dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk untuk beribadah.

Menurutnya , usaha membina masjid digerakkan Jakim bersama badan bukan kerajaan (NGO) ini adalah suatu usaha berkesan bagi menyampaikan bantuan.

Katanya, bantuan disalurkan ini juga adalah keprihatinan rakyat Malaysia dalam membantu mangsa yang berhadapan musibah.

"Jakim akan meneruskan usaha ini dan pada masa mengharapkan bantuan dan sumbangan dari NGO dan individu lain bagi membantu mangsa yang berhadapan musibah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 6:06 PM