Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengumpul lebih RM4.5 juta melalui Tabung Musa'adah Covid-19 yang dilaksanakan secara kerjasama dengan Yayasan Wakaf Malaysia (JAKIM-YWM) bagi membantu golongan terkesan akibat pandemik itu.

Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, daripada jumlah itu, 80 peratus disalurkan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang, geografi dan agama.

"Kami berharap rakyat terus menyumbang ke tabung JAKIM-YWM supaya lebih ramai dapat dibantu.

"Bantuan ini diteruskan setiap hari dan Jakim sendiri akan turun padang bagi menyampaikan bantuan supaya diterima terus oleh golongan sasaran," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tabung Musa'adah Covid-19 JAKIM-YWM kepada Pertubuhan Kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) Autisme Selangor serta Komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (empat  dari  kanan)  menyampaikan sumbangan  Tabung  Musa'adah  Covid-19 JAKIM-YWM kepada  Pertubuhan  Kebajikan  Orang  Kurang  Upaya (OKU)  Autisme  Selangor dan  Komuniti   Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). FOTO SAMADI AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan Tabung Musa'adah Covid-19 JAKIM-YWM kepada Pertubuhan Kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) Autisme Selangor dan Komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). FOTO SAMADI AHMAD

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, Ruslan Said.

Pada majlis itu, Zulkifli menyampaikan bantuan sebanyak RM260,500 kepada komuniti LGBT melalui Pertubuhan Mukhayyam Jakim dan RM22,000 kepada Pertubuhan Kebajikan OKU Autisme Selangor.

Zulkifli berkata, selain kumpulan LGBT dan OKU autisme pihaknya turut menyampaikan sumbangan kepada gelandangan, Orang Asli dan nelayan supaya golongan ini tidak tercicir dari menerima sumbangan.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, setakat ini belum ada arahan penutupan masjid dan larangan solat Jumaat di Sabah berikutan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Katanya, arahan itu di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun setakat ini aktiviti keagamaan di masjid masih berjalan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 2:54 PM