Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung 23 di sini hari ini nyata melegakan mangsa banjir yang terjejas.

Beberapa mangsa banjir yang ditemui di PPS berkenaan melahirkan rasa teruja dan berterima kasih kepada pemimpin nombor satu negara itu yang hadir menjenguk mereka.

Keceriaan jelas terpancar pada wajah penduduk yang terjejas sebaik Perdana Menteri tiba di PPS berkenaan.

Penduduk Mohd Suhaimi Salim, 37, mengakui teruja dengan kehadiran Perdana Menteri ke PPS berkenaan.

Katanya, kesedihan dialaminya selepas rumahnya dinaiki air pada Ahad lalu sedikit terubat apabila bertemu Perdana Menteri.

"Gembira dengan kedatangan PM (Perdana Menteri) yang cakna kepada rakyat yang terkena banjir," katanya yang bekerja sebagai tukang masak.

Perasaan sama turut dikongsi Zainab Azwar,51, yang teruja dapat melihat pemimpin itu secara dekat.

"Semalam mereka beritahu Perdana Menteri mahu datang dan memang teruja bila dapat tahu kerana sebelum ini hanya melihatnya di televisyen.

"Terima kasih kerana sudi jenguk kami di sini," katanya.

ISMAIL Sabri beramah mesra dengan penduduk dan petugas kesihatan di PPS Kampung Batu 23, Kuala Berang. FOTO Ghazali Kori.
ISMAIL Sabri beramah mesra dengan penduduk dan petugas kesihatan di PPS Kampung Batu 23, Kuala Berang. FOTO Ghazali Kori.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 8:09 PM