Nazdy Harun

Kuala Berang: Barisan Nasional (BN) tidak mahu lagi menubuhkan sebuah kerajaan seperti 'melukut di tepi gantang' seperti sebelum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan hanya 42 kerusi, ia mewujudkan ketidakstabilan politik, berbanding parti lain yang mempunyai lebih banyak kerusi contohnya Perikatan Nasional (PN) 49 kerusi dan GPS (19).

"Jika lima tarik diri kita (pasti) tumbang, jadi saya bersama 'Top 5' bermesyuarat untuk membuat keputusan membubarkan Parlimen.

"Kita perlu bentuk kerajaan yang dominan supaya mudah membuat keputusan besar selain mewujudkan kerajaan yang stabil, dalam masa sama mampu meningkatkan tahap ekonomi negara.

"Kita bukan bukan setakat nak menang tapi nak menang besar.. bukan menang dan menubuhkan kerajaan melukut tepi gantang mengharapkan ehsan orang untuk memerintah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Serta Pelancaran Jentera Barisan Nasional Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Negeri Terengganu, di Dewan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Jenagor, di sini, hari ini.

MOHAMAD pada sidang media di Bilik Media Wisma Umno Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
MOHAMAD pada sidang media di Bilik Media Wisma Umno Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno berkata, lebih lama masa diambil, ketidakstabilan politik negara dilihat semakin meruncing dan usaha untuk memulihkan ekonomi negara juga terbantut.

"Menteri (PN) keluar kenyataan akur kepada arahan parti. Lebih banyak arahan lepas ni.. lebih sukar.. (jadi) sebelum presiden dia petik butang.. saya petik butang dulu.

"Terengganu diharap mampu menyumbang beberapa kerusi dalam PRU-15, selain merampas semula kerusi Hulu Terengganu.

"Kita rampas semula kerusi kita yang dirompak, kerusi ini hak kita (BN) dalam PRU-14.. dia rompak kerusi kita (penyandang Parlimen lompat parti).. kita mesti rampas semula," katanya.

Ismail Sabri berkata, syarat utama kemenangan parti adalah solidariti antara kepimpinan kerana kesepakatan sesama ahli mampu menjamin kemenangan buat BN.

Katanya, orang luar ingin melihat BN berpecah kerana ia akan menguntungkan pihak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 6:48 PM