Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Walaupun masih bersedih dengan kejadian banjir melanda rumahnya di Kampung Belukar Bukit, di sini, pada Ahad lalu, warga emas, Endon Ismail, reda menerima ujian daripada Allah.

Malah, kesedihan sedikit terubat dengan kehadiran ahli keluarga yang tidak putus-putus memberi semangat dan sokongan.

Endon, 67, berkata, dia mula menyedari rumahnya dinaiki air pada 6 pagi Ahad lalu.

"Memang air naik terlalu cepat dan apabila air semakin tinggi, kami berpindah ke rumah jiran yang terletak di kawasan tinggi.

"Kawasan rumah memang tidak pernah dinaiki air, biasanya air hanya naik sehingga paras tebing sungai dan tidak pernah melimpah ke kediaman penduduk.

"Memang sedih, tetapi bukan rezeki kita, Allah bagi pinjam kita sekejap dan saya bersyukur sebab anak dan cucu semuanya selamat," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

AHLI keluarga dan penduduk membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Belukar Bukit, Kuala Berang. FOTO GHAZALI KORI
AHLI keluarga dan penduduk membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Belukar Bukit, Kuala Berang. FOTO GHAZALI KORI

Kejadian banjir luar jangka itu menyebabkan Endon mengalami kerugian hampir RM200,000 selepas rumah serta tiga kenderaan termasuk dua pikap Toyota Hilux dan dua jentolak rosak.

Sementara itu, anak mangsa, Mustakim Nawang, 28, berharap lebih ramai individu datang ke rumah mereka dan kawasan sekitarnya untuk membantu melakukan kerja pembersihan.

"Memang tidak dinafikan ada yang datang, tetapi kita alu-alukan jika lebih ramai datang membantu kami dan penduduk sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 8:32 PM