KEADAAN banjir termenung di kawasan bendang di Kampung Pulau Ular, Tumpat berdekatan Jalan Kasban selepas air Sungai Golok mula melimpahi tebing. FOTO Syamsi Suhaimi
KEADAAN banjir termenung di kawasan bendang di Kampung Pulau Ular, Tumpat berdekatan Jalan Kasban selepas air Sungai Golok mula melimpahi tebing. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali


TUMPAT akan berdepan banjir termenung bagi tempoh dua minggu yang bermula Isnin lalu ekoran paras air Sungai Golok di Rantau Panjang dan di Kuala Jambu masih melebihi paras bahaya.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha berkata, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini dengan bacaan 10.46 meter (m) dan Kuala Jambu 3.72m.

Katanya, sepatutnya paras air sungai di kedua-dua kawasan itu menurun tetapi ia masih di tahap bahaya.

“Disebabkan keadaan itu, kemungkinan Tumpat akan mengalami banjir termenung dalam tempoh yang lama iaitu dua minggu kerana limpahan air Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat.

“Faktor itu juga disebabkan air pasang besar akan berlaku pada paras 1.4m hingga 1.6m antara 2 hingga 6 Disember ini di kawasan pantai.

"Pertembungan antara hujan dan air pasang besar menyebabkan air sungai mengambil masa untuk surut.

"Namun, jika paras air Sungai Golok di Rantau Panjang turun ke paras 9.5m dan Kuala Jambu tiga meter, kawasan Tumpat tidak akan mengalami banjir termenung yang lama," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, pergerakan air dari Sungai Golok, Rantau Panjang ke Kuala Jambu mengambil masa 36 jam dan penduduk mempunyai masa untuk berpindah ke kawasan selamat.

Katanya, air Sungai Golok di paras bahaya kerana di negara jiran masih hujan dan air masuk ke sungai berkenaan menerusi 19 anak sungai kecil.

"Sebagai langkah untuk menangani banjir di Rantau Panjang dan Tumpat, beberapa projek akan dijalankan tahun depan antaranya projek tinggikan benteng dengan kos RM300 juta sepanjang 26 kilometer (km) dari Pengkalan Kubor ke Lembah Lancang, Tumpat.

"Selain itu, kerajaan juga memberi peruntukan RM1.1 bilion untuk pembinaan benteng dari Bukit Bunga ke Tumpat sepanjang 60km," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, air pasang besar juga akan menjejaskan Kampung Pulau Kundur, di sini.

"Sebagai persediaan, kita melakukan kerja darurat membina benteng dari Pantai Mek Mas ke Pulau Kundur sepanjang tiga kilometer dengan kos RM1 juta," katanya.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 8:20 PM