Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sindiket pengedaran dadah dikesan masih menggunakan taktik lapuk dengan menyewa kondominium mewah sebagai lokasi menyimpan dadah.

Perkara itu terbongkar selepas menahan pasangan kekasih dan merampas dadah bernilai RM9.3 juta dalam dua serbuan di sekitar ibu kota, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan pada 7.15 malam itu berjaya menahan dua suspek terdiri seorang lelaki tempatan dan wanita warga Vietnam dengan rampasan syabu seberat 260.85 kilogram (kg).

Beliau berkata, suspek yang aktif mengedar dadah sejak penghujung tahun lalu itu dipercayai membawa masuk bekalan berkenaan dari utara tanah air.

"Bekalan dadah ini juga turut dibekalkan ke Sabah dan Sarawak oleh sindiket ini. Mereka menjadikan kondominium sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan.

"Hasil serbuan polis berjaya menyita wang tunai berjumlah RM120,000 dan diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Ayob Khan berkata, semakan rekod lampau terhadap kedua-dua suspek mendapati suspek lelaki mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

"Ujian saringan air kencing juga mendapati pasangan terbabit positif dadah methaphetamine.

"Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 3 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

AYOB Khan (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Rohanis Shukri
AYOB Khan (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Rohanis Shukri

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 2:15 PM